Empat individu termasuk tiga beradik didakwa eksploitasi kerja
AYER KEROH 21 Dis. – Tiga beradik dan seorang lelaki tempatan disyaki rakan subahat didakwa di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini atas dakwaan eksploitasi kerja paksa terhadap wanita warga asing.
Tiga tertuduh, Ee Hwei Ping, 38, Ee Hwei Shan, 33 dan Ee Hwei Ting, 34 secara keseluruhannya didakwa atas 35 pertuduhan manakala Koh Chee Pin, 38 didakwa atas 21 pertuduhan membabitkan 35 wanita warga asing berusia antara 18 hingga 40 tahun dalam tempoh Mac hingga November tahun ini.
Bagaimanapun, keempat-empat tertuduh tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pendakwaan, tiga beradik itu mencapai niat bersama untuk melakukan pemerdagangan terhadap 32 wanita warga Indonesia dan tiga wanita warga Kemboja di No.62 Jalan M21, Taman Merbok, Melaka Tengah pada jam 10.30 malam 12 November lalu.
Ketiga-tiganya didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda.
Bagi kesalahan dilakukan Chee Pin, dia yang juga suami kepada Hwei Shan didakwa bersubahat dengan kakak ipar dan adik iparnya memperdagangkan wanita warga asing bagi maksud eksploitasi kerja di lokasi sama pada waktu serta tarikh yang sama.
Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 Atipsom 2007, yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun serta denda.
Hakim membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendaikan Timbalan Pendakwaraya, Anis Wahidah Mohamad manakala semua tertuduh diwakili peguam Faiezad Razali.
Mahkamah menetapkan 15 Januari depan bagi kes sebutan semula dan penyerahan dokumen.