EMPAT CABARAN UTAMA MAIM, URUS TANAH WAKAF
SERI NEGERI 30 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengenal pasti empat cabaran utama dalam perancangan menambah dan menguruskan tanah wakaf di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman (BN-Ayer Molek) berkata cabaran pertama membabitkan isu perundangan walaupun Melaka mempunyai kanun wakaf khusus iaitu Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005.
Katanya, terdapat beberapa cabaran dalam menguatkuasakan kandungan bidang kuasa diperuntukkan khususnya dalam perihal mendaftarkan sesuatu wakaf yang wujud tanpa dokumentasi selain cabaran dalam bentuk percukaian, pembangunan tanah dan penguatkuasaan.
“Cabaran kedua pula membabitkan pendanaan projek pembangunan bagi sesuatu wakaf kerana MAIM tidak mempunyai dana khusus bagi menjalankan projek pembangunan bersifat komersial disebabkan tanah wakaf tidak boleh dipindah milik untuk mendapatkan pembiayaan ‘end financing’ selain tidak boleh dicagar bagi mendapatkan pembiayaan ‘bridging financing’.
“Pada ketika ini, MAIM terpaksa membangunkan tanah-tanah ini melalui kutipan wakaf tunai yang masih rendah dan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata cabaran ketiga ialah tahap kesedaran pemain-pemain industri berkaitan pembangunan tanah wakaf masih rendah, sekali gus menyebabkan sasaran menjadikan amalan itu sebagai satu budaya masih jauh untuk dicapai.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkara itu timbul berikutan wakaf masih dilihat dalam konteks keagamaan berbanding nilai komersial.
“Pembangunan wakaf perlu dilihat sebagai pembangunan aset umat yang diuruskan MAIM sebagai pemegang amanah tunggal bagi Melaka.
“Cabaran terakhir ialah berkaitan pengurusan wakaf itu sendiri. Hal ini disebabkan kekurangan kepakaran berkaitan pengurusan tanah, kekurangan anggota kerja untuk melaksanakan pemantauan, pengurusan, penguatkuasaan serta perancangan pembangunan.
“Kita juga berdepan masalah kurangnya akses kepada pihak luar dalam membantu disebabkan urusan wakaf lebih dilihat bersifat menjaga urusan agama berbanding bersifat komersial,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.