Empat beranak mengaku tidak bersalah tawar projek gali pasir
AYER KEROH 20 Jan – Empat beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud tiga tahun lalu.
Tertuduh Wong Tiing Kiong, 63, bersama anaknya Felix Wong Sing Jie, 27, Wong Sing Kung, 43 dan Amy Wong E Tim, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan.
Dalam prosiding di depan Hakim Nariman Badruddin, Tiing Kiong didakwa atas dua pertuduhan iaitu dengan curang menipu, mendorong dan memperdayakan sebuah syarikat dengan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud.
Tindakan itu menyebabkan syarikat terbabit membuat pembayaran RM1 juta melalui dua cek berasingan berjumlah RM500,000 setiap satu di sebuah bank di Melaka Raya, pada 19 April 2019.
Atas pertuduhan itu Tiing Kiong, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, mencadangkan jaminan RM400,000 ditawarkan kepada tertuduh.
Sementara itu, dalam prosiding di depan Hakim Maziah Joary Tajudin, tiga anaknya yang turut didakwa atas pertuduhan sama juga mengaku tidak bersalah.
Prosiding pendakwaan terhadap mereka dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Pada akhir prosiding mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang selain mereka perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut menetapkan 21 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
anggani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.