Sorting by

×

Empat beranak hidup berlantaikan tanah

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

BEMBAN 23 Nov – Berlantaikan tanah dan berbumbungkan atap bocor selain hidup serba kekurangan antara kedaifan yang terpaksa diharungi empat beranak di Kampung Batu 12, Bemban di sini sejak empat tahun lalu.

Bukan itu sahaja, kehidupan Dzulkifli Abu Samah bersama isteri, Siti Zainab Enchah, 36 serta dua sepasang cahaya mata ibarat retak menanti belah berikutan rumah yang didiami itu menjadi laluan air yang mengalir dari kawasan tinggi kerana kediamannya terletak di lokasi tanah rendah.

Pasangan suami isteri itu terpaksa membesarkan dua anak, Muhammad Akif Zuhairi, 13 dan Nur Aishah Humairah, 8, di rumah serba kekurangan itu kerana tidak mampu menyewa dan diarahkan berpindah keluar dari rumah sewa sebelum ini akibat kesempitan wang.

DZULKIFLI

Dzulkfli berkata, dia yang menghidap penyakit gout tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mengambil upah menoreh getah serta melakukan sedikit kerja kontrak sekiranya diperlukan selain bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Bagaimanapun, katanya dengan memiliki kemahiran dalam pertukangan membolehkannya membina rumah di atas tanah pusaka milik keluarga.

“Saya tidak harap apa-apa, cukuplah kalau anak-anak dapat membesar dengan lebih selesa seperti anak-anak orang lain dan menikmati makanan berkhasiat agar mereka dapat cemerlang dalam pelajaran,” katanya dalam nada sebak.

Menurutnya, sebagai ayah, sememangnya dia mengimpikan kehidupan lebih baik kepada dua anaknya yang masing-masing bersekolah di tingkatan satu dan darjah dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara dan Sekolah Kebangsaan Seri Bemban.

Namun dia amat bersyukur dan terharu apabila dua anaknya memahami keperitan dialami dan mereka anak beranak tidak pernah mengeluh serta membandingkan kedaifan hidup dengan keluarga lain.

SITI ZAINAB

Sementara itu, Siti Zainab berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup serta membantu pendapatan suami, dia pernah meniaga buah potong secara bergerak di Pantai Siring, dekat sini, namun hasilnya tidak seberapa.

Malah katanya, perniagaan kecil-kecilan itu turut terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac berikutan pandemik COVID-19..

“Terputus makanan itu sudah menjadi perkara biasa tetapi saya bersyukur kerana anak-anak faham.

“Bukan tidak mahu menyediakan rumah lebih selesa kepada mereka tetapi kami tidak mampu.

“Sebelum, kehidupan kami hanya berlampukan pelita untuk anak-anak mengulangkaji pelajaran namun kini kami bergantung bekalan elektrik daripada rumah saudara yang berdekatan berbanding,” katanya.

Sementara itu, kehidupan serba kekurangan empat beranak itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd. Rahman yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (Japerun) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Menurut Hasan, pihaknya dalam usaha untuk mendapatkan rumah sewa kepada keluarga empat beranak itu dan pada masa sama turut merancang untuk mengambil Nur Aishah Humairah dan abangnya sebagai anak angkat Japerun DUN Bemban bagi memastikan pendidikan mereka terjamin.

“Saya juga sudah menghubungi beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi melihat bentuk keperluan yang boleh disalurkan kepada keluarga ini terutama sekali menempatkan mereka di kediaman lebih selesa dan selamat,” katanya.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Perkembangan semasa banjir daerah Alor Gajah setakat jam empat petang
Next post Inisiatif Gelembung Perjalanan Domestik Zon Hijau usaha kerajaan pulih sektor kerajaan
Ubah saiz-+=