Empangan penuh, tiada catuan air di Melaka sehingga hujung tahun

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 2 Sept – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali memberi jaminan tiada catuan air akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.

Jelasnya, ia berikutan paras air di tiga empangan di Melaka berada pada tahap maksimum, berbeza berbanding awal tahun lalu yang menyaksikan paras air di empangan merosot sehingga memaksa bekalan air berjadual terpaksa dilaksanakan.

Beliau berkata, setakat 25 Ogos, paras air di Empangan Durian Tunggal dan Empangan Asahan menunjukkan bacaan 100 peratus, manakala Empangan Jus berada pada paras 99.8 peratus.

“Insya-Allah sekiranya tiada hujan langsung yang direkodkan bermula 1 September 2021 (semalam), Empangan Durian Tunggal masih akan berada pada paras 51 peratus pada hujung tahun 2021 ini.

“Begitu juga Empangan Jus, yang dijangka mampu dapat bertahan di atas paras 80 peratus hingga hujung tahun 2021.

“Empangan Asahan pula mempunyai tadahan yang tersendiri dari Gunung Ledang di Sungai Gemas dan paras takungannya tidak berubah sejak Januari 2021 hingga sekarang iaitu 100 peratus.

“Untuk itu, saya memberi jaminan bahawa tiada catuan bekalan air akan dilaksanakan di Melaka sehingga penghujung tahun ini, insya-Allah,” katanya ketika bersiaran bersama Melaka FM dalam segmen Bicara Ketua Menteri, hari ini.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Tangguh operasi pasar malam demi keselamatan rakyat Melaka
Next post Siswa UTeM menang besar di Innovate Malaysia Design Competition 2021
Ubah saiz-+=