Elakkan kluster raya korban
BUKIT PALAH 10 Julai – Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Hari Raya Aidiladha atau korban, bagi mengelakkan berulangnya kewujudan kluster-kluster raya membabitkan penularan COVID-19.
Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, walaupun kerajaan negeri membenarkan sambutan Aidiladha pada tahun ini, namun ia bukan menjadi ‘tiket’ buat umat Islam mengingkari arahan yang ditetapkan.
Beliau berkata, pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal, tidak bersalaman mahupun tidak melakukan aktiviti ziarah-menziarahi amat penting untuk diamalkan dalam usaha mengawal penularan wabak di negeri ini.
“Saya menyeru kepada masyarakat Islam agar menyambut Aidiladha secara sederhana. Bersamalah kita mematuhi arahan kerajaan dan mengekalkan pematuhan SOP dalam apa jua aktiviti.
“Saya berharap tiada lagi aktiviti ziarah raya, majlis kenduri-kendara ketika perayaan tahun ini berikutan jumlah jangkitan masih lagi tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Halim turut meminta program sembelihan korban yang akan dijalankan pada 20 hingga 23 Julai nanti berlangsung mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Katanya, bagi penyembelihan haiwan korban di masjid dan surau seluruh negeri, ia perlulah mendapatkan kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan ia perlu dilakukan di tempat yang lapang.
“Bilangan petugas juga telah ditetapkan tidak lebih 25 orang dengan had lima ekor binatang korban sehari.
“Masa yang ditetapkan untuk kerja-kerja ini ialah dari jam 7 pagi hingga 6 petang dan agihan daging korban perlulah dihantar dari rumah ke rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.