El Nino: Pengeluaran durian berkurangan, pekebun jangka naik harga
GUA MUSANG, 31 Mei – Fenomena El Nino yang berterusan memberi kesan terhadap pengeluaran buah durian di daerah ini, malah pekebun menjangkakan berlaku peningkatan harga ekoran kekurangan buah pada musim ini.
Keadaan cuaca panas serta taburan hujan yang tidak menentu menyebabkan sebahagian besar bunga durian menjadi kering malah buahnya cepat gugur sebelum mencapai usia yang matang.
Pengusaha kebun durian Tina Chong, 45, berkata untuk musim ini pengeluaran buah bagi 1,000 pokok duriannya mengalami kemerosotan sebanyak 70 peratus dari tahun lepas.
“Pengeluaran buah durian amat tidak memberangsangkan tahun ini, pokok-pokok yang biasanya berbuah daripada 300 sehingga 400 biji untuk satu musim juga dilihat hampir tidak dapat mengeluarkan buah langsung.
“Semua pekebun terkesan dengan cuaca panas tahun ini, jadi saya rasa harga durian akan meningkat ekoran pengeluaran buah yang kurang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tina yang mengusahakan pelbagai jenis durian seperti Musang King dan durian kampung di kebun seluas lebih sembilan hektar berkata harga bagi durian Musang King yang dapat dijual pada tahun lepas adalah antara RM35 sehingga RM80 sekilogram mengikut gred.
“Keuntungan yang diperoleh tahun lepas sebanyak RM200,000 dengan kos penyelenggaraan RM400,000 setahun,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.