Eksport madu kelulut ke Singapura selepas 15 tahun
BELIMBING DALAM 18 Mei – Musim bunga antara Mac dan Mei amat dinantikan pasangan ini, kerana sarang kelulut mereka tidak putus mengeluarkan hasil yang menjanjikan keuntungan berganda.
Namun untuk mengecapi semua nikmat itu Abdul Ghafar Ismail, 40, dan Marlini Minhat, 39, mengambil masa selama 15 tahun untuk belajar dan benar-benar mahir dalam aspek menguruskan kelulut mengikut cara yang betul.
Usaha pasangan ini berbaloi kerana madu kelulut dikumpul kini dipasarkan kepada pelanggan tetap di Negeri Sembilan, Johor dan Singapura, malah mereka memanfaatkan platform Facebook untuk meluaskan lagi pasaran.
Abdul Ghafar berkata, setakat ini mereka menternak dua jenis kelulut iaitu’Geniotrigona Thoracica sp’ dan ‘Heterotrigona Itama Sp’ bersarang di 60 bongkah kayu di rumah ibunya di Belimbing dalam dan kediaman mereka di Durian Tunggal.
“Dulu saya hampir jatuh, tapi pujukan isteri melembutkan hati saya yang ketika itu benar-benar kecewa kerana tidak ada seekor pun kelulut bersarang di bongkah kayu disediakan.
“Ketika itu saya langsung tidak ada ilmu mengenai penternakan kelulut, hanya harapkan pengalaman yang tidak seberapa dan minat untuk mencuba.
“Alhamdulillah, hari ini atas tunjukan ajar pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan Jabatan Pertanian saya baiki kelemahan yang ada, saya semakin bersemangat apabila sarang kelulut semakin banyak mengeluarkan hasil,” katanya.
Berkongsi pengalamannya, Abdul Ghafar berkata, mendapatkan madu kelulut yang bagus untuk membantu merawat masalah sakit tekak, batuk, kencing manis dan darah tinggi bukan perkara mudah.
Jelasnya, kelulut mahukan kawasan tidak terlalu redup atau terlalu panas malah sarang terbaik untuk serangga itu perlu menggunakan kayu pokok mata kucing, rambutan, langsat, kelapa, akasia dan tembusu.
“Serangga ini juga akan rajin mengeluarkan madu jika persekitaran sarang dijaga rapi dan kerap dibersihkan. Kerana sambutan menggalakkan kami bercadang untuk tambah 60 lagi sarang selepas ini.
“Kami menjaga kualiti madu malah sudah memperoleh pengiktirafan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dari Jabatan Pertanian negeri,” katanya.
Bagi menuai madu dengan cara lebih mudah dan ekonomik mereka kini mengguna pam khas berbanding picagari yang diamalkan sebelum ini yang memakan masa amat panjang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.