EKSPO TVET@KKDW BUKA PELUANG PENGAJIAN, PEKERJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 25 September – Ekspo TVET @KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bakal membuka peluang kepada orang ramai mengenali bidang teknikal secara lebih dekat.

Tidak hanya itu, ekspo selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini juga menawarkan pelbagai bidang pengajian berasaskan TVET kepada anak muda, selain turut membuka peluang pekerjaan untuk orang ramai menerusi karnival kerjaya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kurikulum Kemahiran dan Keusahawanan GIATMARA Malaysia, Ts. Kamal Ahmad @ Ishak berkata, ekspo berkenaan dibahagikan kepada enam zon bertempat di bukan sahaja dalam dewan, bahkan luar perkarangan MITC.

Menurutnya, zon pertama adalah pameran daripada pelbagai institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di dalam dewan yang membuka tawaran pengajian untuk anak muda dalam bidang teknikal yang diminati.

“Zon kedua pula ditempatkan di kawasan luar dewan di mana pelbagai pertandingan kemahiran dan pameran akan diadakan seperti penyelenggaraan motosikal, pertandingan dron, ‘robot battle, inovasi, arca serta pelbagai lagi.

“Manakala, bagi zon ketiga pula menempatkan rakan-rakan strategik industri TVET yang membuka pelbagai peluang pekerjaan dan temuduga secara langsung sepanjang penganjuran ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Kamal berkata, zon empat hingga enam pula merangkumkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan yang dibuka untuk komuniti membabitkan semua peringkat umur.

“Dalam zon ini kita meletakkan pendekatan antara komuniti supaya pendidikan TVET ini mampu menyuntik kesedaran dan minat orang ramai supaya lebih banyak graduan dari bidang ini dapat dilahirkan pada masa akan datang.

“Insya-Allah, setakat ini persiapan untuk ekspo ini mencapai kemajuan 60 peratus dan kita menjangkakan ia mampu menarik minat ramai, khususnya rakyat Melaka untuk hadir ke ekspo ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post 23 OKTOBER: RAKYAT MELAKA DI SINGAPURA TERUJA
Ubah saiz-+=