Ekspo pendidikan bantu anak Melaka kejar cita-cita – KM
AYER KEROH – Melaka Education Expo dicadang untuk dijadikan acara tahunan di negeri ini bagi membuka peluang lebih besar kepada anak-anak di negeri ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, penganjuran ekspo pendidikan seperti itu dapat membantu anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih bidang dan hala tuju yang mereka mahukan.
Selain itu, katanya, ada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) juga memberikan beberapa tawaran istimewa antaranya kursus secara percuma yang berupaya membantu pelajar dari golongan B40.
“Kita mahu ekspo seperti ini jadi acara tahunan kerana kita mahu beri peluang kepada anak lepasan SPM memilih ke mana hala tuju mereka.
“Seperti ekspo ini, saya lihat ada pelbagai tawaran seperti contoh kursus percuma bagi beberapa tahun pembelajaran dan begitu juga ada IPT yang menawarkan kursus yang saya sendiri tidak pernah terfikir seperti penyiasatan forensik dan sebagainya.
“Jadi, saya mahu anak-anak Melaka merebut peluang seperti ini untuk mereka datang dan pilih sendiri apakah impian mereka dan seterusnya mengejar cita-cita mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Melaka Education Expo 2022 anjuran Sheng Tai International dengan kerjasama Melaka Hari Ini Sdn Bhd di Hotel Ames, hari ini yang turut dihadiri EXCO Pendidikan Datuk Rais Yasin.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan di lebih 30 gerai pameran yang disediakan.
Beliau juga diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Datuk Seri Abdul Jalil Hamid untuk merasmikan logo baharu Melaka TV iaitu saluran media elektronik Melaka Hari Ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.