Ekspo IITTE 2024 himpun produk 20 negara Islam

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Kira-kira 20 syarikat dan pempamer daripada 20 buah negara dihimpunkan pada Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, IITTE dianjurkan empat hari bermula hari ini hingga Ahad membabitkan lebih 300 gerai pameran serta jualan pelbagai produk muslim serata dunia.

Katanya, ekspo dianjurkan GISB Holdings (GISBH) dengan kerjasama Kerajaan Negeri, dilihat mampu memperkasakan pelancongan Islam bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Melaka dipilih sebagai negeri pertama bagi penganjuran IITTE bagi tahun ini, pelbagai syarikat menjual pelbagai produk dagangan seperti pelancongan, pertanian, penjagaan kesihatan, perbankan dan sebagainya dihimpunkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“IITTE yang diilhamkan menggunakan pendekatan Silaturahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah ini akan menjadi contoh kepada penganjuran program berteraskan Islam di Melaka. Kita bercadang untuk jadikan IITTE sebagai program tahunan Negeri Melaka.

“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka saya ucapkan syabas dan terima kasih kerana memilih Melaka. Kita berasa beruntung ditambah lagi ekspo ini juga turut membuka peluang secara percuma kepada pengunjung untuk menghayati Pameran Sejarah Kehidupan Rasulullah Untuk Penghayatan Kehidupan Kini di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan ITTE 2024 diadakan di Dewan A MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Terdahulu, pada program perasmian itu juga, Rais turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan GISBH bersama empat syarikat pengeluar makanan dan minuman dari beberapa negara.

Rais berkata, konsep penganjuran ekspo terbabit yang mengetengahkan elemen penyatuan umat Islam dalam segala perihal kehidupan mampu memartabatkan tunjang institusi agama itu.

Malah katanya, Kerajaan Negeri terus memberi sokongan dan menyambut baik usaha itu, sekali gus mampu mengangkat industri pelancongan di Melaka.

“Ekspo ini diilhamkan daripada program Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah (perniagaan) yang juga bukan sekadar mempromosi produk yang ‘Halalan Thoyyiban’ semata-mata, sebaliknya penganjurannya sebagai usaha untuk mengajak masyarakat bersama-sama menghayati erti kehidupan lebih luas skopnya iaitu kehidupan yang diredai oleh Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post Polis kesan anggota tentera hilang sejak Jun lalu
Next post Batas sawah jadi pentas ‘catwalk’ Ratu D’Bendang
Ubah saiz-+=