(EKSKLUSIF) Kamarulsyah kini timbalan pengarah APM Johor
AYER KEROH 12 Ogos – ‘Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bekerja di negeri sendiri’. Itu hakikat dilalui Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka, Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim, secara rasmi bertukar ke APM Negeri Johor pada 8 Ogos lalu.
Tujuh tahun menabur bakti di Melaka, beliau akur berpindah apabila dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Kolonel (PA) dan bertugas sebagai Timbalan Pengarah APM Negeri Johor.
Sewaktu ditemui baru-baru ini, Kamarulsyah mengakui bermacam pengalaman suka duka sepanjang bertugas di sini dan ia tersemat kukuh dalam sanubarinya.
“Alhamdullilah, saya sangat bersyukur dan senang bekerja di Melaka, APM mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri dalam pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.
“Tujuh tahun bukan jangka masa yang singkat, hubungan saya dengan anggota dan pegawai pasukan cukup rapat, malah mereka juga beri kerjasama penuh. Ini antara faktor mengapa saya ‘berat hati’ nak tinggalkan pasukan,” katanya.
Ditanya pengalaman sukar dilupakan sepanjang di Melaka beliau berkata, antaranya apabila APM selaku Sekreteriat Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Melaka menyelaras misi bantuan ketika banjir.
“Tugas saya membantu pengarah menyelaras agensi-agensi penyelamat untuk tugusan menyelamatkan mangsa yang berada di lokasi berbahaya serta berisiko tinggi dan juga tugasan bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Namun, kita berdepan kekangan dari segi logistik misalnya kenderaan pacuan empat roda penyelamat adalah sangat terhad selain ‘berusia’ dan kerap rosak.
“Ini menyebabkan tugas menyelamat jadi tak selaras dan kena mengikut tahap keseriusan kes. Namun saya tengok semangat anggota dan pengawai cukup tinggi untuk melaksanakan tugas…ini buat saya kagum,” katanya.
Kamarulsyah turut berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan serta semua pegawai di Jabatan Ketua Menteri Melaka kerana sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada APM.
“Saya juga berdoa agar pegawai, kakitangan dan anggota APM Melaka terus berkhidmat dengan cemerlang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Menyertai APM pada 2007 sebagai Penolong Pegawai Pertahanan Awam, kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Mejar (PA) berikrar melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang bersama APM Negeri Johor.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.