Sorting by

×

(EKSKLUSIF) Dapur Hospital Melaka ditutup?

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Operasi dapur Hospital Melaka (HM) didakwa terpaksa ditutup sejak malam tadi susulan beberapa kakitangannya dikesan positif COVID-19.

Menurut sumber bertugas, penutupan dibuat kira-kira jam 7.30 malam tadi kerana jumlah positif yang ramai selain beberapa lagi kakitangan diarahkan menjalani ujian calitan.

Penutupan itu bagaimanapun, difahamkan tidak menjejaskan hidangan disediakan kepada pesakit hospital terbabit.

“Ya bahagian dapur ditutup kerana setakat ini, saya dimaklumkan 10 orang positif namun ia tidak menjejaskan operasi penyediaan makanan kepada pesakit.

“Bekalan makanan masih ada dan sekarang ini semua berdoa agar kakitangan yang menjalani ujian calitan dihindari jangkitan virus ini, “katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

TINJAUAN di Unit Dietetik dan Sajian, Hospital Melaka mendapati pintu pagar ditutup – Foto Norizan Muhid

Sementara itu, Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi MHI mengesahkan terdapat beberapa kakitangan dikesan positif COVID-19 namun tidak mendedahkan angka terlibat.

Malah, beliau turut memaklumkan operasi dapur Hospital Melaka (HM) tidak ditutup seperti yang didakwa.

“Memang ada kakitangan positif (COVID-19) yang kini sedang menjalani kuarantin termasuk sebahagian lagi kakitangan dikenal pasti pesakit dalam siasatan (PUI).

“Bagaimanapun, tiada penutupan dapur dan HM akan menguruskan penyediaan makanan kepada pesakit,” katanya.

Berita lanjut menyusul…

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1238
Kongsi :
Previous post Kerajaan perlu rangka pelan pemulihan jangka panjang
Next post PM tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong pagi ini
Ubah saiz-+=