Sorting by

×

Eksesais MANTIS disambung hingga 2024

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

SUNGAI UDANG 25 Mac.- Eksesais bilateral antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang berakhir tahun ini akan disambung untuk tiga tahun lagi sehingga 2024.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, perkara itu mendapat persetujuan kerajaan Kanada.

Katanya Eksesais MANTIS yang memasuki tahun ketujuh penganjurannya sejak 2015 memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara khususnya TDM dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi ancaman keselamatan berkaitan Kimia, Biologi, Radiasi, Nuklear dan Letupan (CBRNe).

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan. Gambar Din Ahmad

“Pada kali ini, seramai dua pegawai dan lapan anggota ATK menyertai latihan bersama ini bersama 16 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat dari ATM.

“Penyertaan terhad disebabkan pandemik COVID-19 dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard dan norma baru. Apapun kita bersyukur masih dapat meneruskan inisiatif latihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Eksesais MANTIS Siri 7/2021 di Kem Terendak hari ini.

Hadir sama Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Esther Van Nes; Komander Jurutera Medan Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa dan Leftenan Kolonel Kevin Barker.

Unit-unit yang terlibat termasuk 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja (CBRNe) sebagai Tim CBRN, gabungan 11 Rejimen Gerak Khas (RGK) dan Rejimen 21 Komando sebagai Tim Penggempur, 21 Skuadron Medik Gerup Gerak Khas (GGK) sebagai Tim Perubatan CBRN dan 91 Rejimen Bantuan RAJD sebagai Tim Improvised Explosive Device Disposal (IEDD).

Muhammad Hafizuddeain menyampaikan cenderahati kepada Esther Van Nes sambil diperhatikan Abdul Hamid (kiri) dan Baker (kanan) pada Majlis Penutup Eksesais MANTIS Siri 7/2021 di Kem Terendak hari ini. Gambar Din Ahmad

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, Eksesais MANTIS bermula pada 18 Januari lalu hingga hari ini dan latihan sambungan akan diadakan di Kanada.

“Pada Mei nanti akan diadakan latihan timbal balik membabitkan tiga pegawai dan 15 anggota TDM di Kanada.

“Di Malaysia latihan operasi CBRN dengan Pasukan Operasi Khas Kanada (CANSOFCOM) melatih anggota 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja berkenaan proses nyahcemar, mengenal pasti bahan kimia melalui pengambilan sampel dan cara pelaksanaan tinjauan selama enam minggu dan diakhiri latihan dalam keadaan sebenar selama dua minggu.

“Latihan membabitkan agen sebenar dibuat di Kanada membabitkan anggota 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja dan elemen perubatan,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Hafizuddeain berkata, masih banyak ruang penambahbaikan bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam latihan itu antaranya dalam konteks kepakaran anggota, teknologi digunakan, pengendalian operasi dan peralatan khas elektronik yang terbabit.

“Kita amat berterima kasih dengan kerajaan Kanada kerana sepanjang tujuh tahun mereka amat membantu dari segi pembekalan peralatan untuk melaksanakan latihan yang hampir keseluruhannya bersifat pakai habis.

“Mereka sangat bermurah hati dalam menyediakan peralatan untuk latihan ini. Bagaimanapun, kita juga ada kenderaan perisai Gempita diguna dalam eksesais ini yang berupaya mengesan, memantau dan membantu pasukan melaksanakan operasi serta mengenal pasti apa jenis bahan kimia di kawasan tercemar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2106
Kongsi :
Previous post Lebih RM5.6 juta tidak dapat dimanfaatkan 934 KRT kurang aktif
Next post Aparment dan hotel ‘port’ lakukan seks dalam kalangan remaja
Ubah saiz-+=