Eks Rembia: Uji tahap kesiapsiagaan agensi penyelamat
REMBIA 27 Oktober – 50 peserta aktiviti senamrobik antara mangsa yang mengalami kecederaan selepas sebuah helikopter membawa 15 penumpang terhempas di Klinik Kesihatan Rembia.
Akibat kejadian itu suasana ceria di perkarangan Klinik Kesihatan berkenaan bertukar cemas dengan jeritan puluhan mangsa yang parah meminta bantuan untuk diselamatkan.
Sementara menunggu pasukan penyelamat tiba ada dalam kalangan mangsa yang mengalami kecederaan ringan membantu dan memberikan rawatan awal kepada rakan mereka yang parah.
Beberapa minit kemudian lokasi berkenaan dipenuhi kenderaan penyelamat khusus ambulans bertali arus membawa mangsa yang parah untuk dikejarkan ke hospital bagi diberikan rawatan lanjut.
Situasi itu adalah antara detik cemas sepanjang Latihan Simulasi Bencana Alor Gajah, berlangsung di Klinik Kesihatan Rembia, di sini, hari ini.
Ketua Koordinator Latihan Simulasi, Dr Khamarul Ariffin Arif berkata latihan itu bukan hanya menguji kesiapsiagaan setiap agensi terlibat, sebaliknya memberikan pendedahan kepada pasukan penyelamat mengenai situasi sebenar ketika berlaku bencana.
“Jadi platform ini untuk kumpul mereka (agensi terlibat) dalam satu latihan menguji kesiapsiagaan di Negeri Melaka, ia bukan saja berlaku di Klinik rembia melibatkan beberapa hospital di negeri ini.
“Kita mahu lihat maklumat semasa simulasi atau latihan ini sampai ke pengarah kesihatan negeri atau tidak, sebab itu kita uji semua sektor kesihatan sama ada klinik ataupun hospital.
“Biarpun kita buat latihan tetapi perkhidmatan biasa klinik kesihatan masih diteruskan, rawatan pesakit masih diberikan seperti biasa cumanya lebih teratur kerana kita mahu menguji juga semua sistem kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Latihan Simulasi Bencana Alor Gajah yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Alor Gajah merangkap Komandan Operasi, Superintendan Arshad Abu.
Program anjuran bersama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka (JaPen) itu melibatkan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta agensi-agensi kerajaan lain.
Sementara itu Arshad berkata, simulasi tersebut menggariskan beberapa tindakan agar tidak berlaku pertindihan antara agensi penyelemat yang terlibat dalam menguruskan bencana di negeri ini.
“Kita laksanakan beberapa simulasi melibatkan agensi penyelama dengan KKM memilih Klinik Kesihatan Rembia bukan hanya untuk menguji warga kerja mereka, malah anggota PDRM, Bomba dan APM.
“Latihan pengurusan bencana ini juga mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2020 selaras dengan garis panduan disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.