Ekosistem pelaburan Melaka ditambah baik – KM

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

SERI NEGERI 9 Julai – Sebagai negeri yang mengamalkan dasar mesra pelabur, Melaka komited untuk terus menambah baik ekosistem pelaburan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, beberapa langkah tambahan telah dirangka oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Melaka dan Perbadanan Melaka (MCORP) untuk memastikan Melaka terus kompetitif serta menjadi pilihan pelabur asing.

Menerusi Invest Melaka, jelas beliau, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah meliputi fasa pra-pelaburan, fasa pelaburan dan pembuatan serta fasa pasca-pelaburan.

“Menerusi fasa pra-pelaburan, Kerajaan Negeri memperkasakan peranan Invest Melaka sebagai sekretariat Melaka Industri Booster (MIB) mulai April 2024 bagi mempermudahkan proses penyediaan tanah perusahaan atau perindustrian, permohonan lesen perniagaan, lesen pengilang, kebenaran merancang, pelan bangunan sehingga sijl layak menduduki.

“Manakala pada fasa pelaburan dan pembuatan, Kerajaan Negeri mengaktif serta memperkasa Majlis TVET Negeri Melaka bagi menyediakan tenaga kerja mahir sektor pembuatan berteknologi tinggi, di mana Invest Melaka Berhad diberi mandat untuk memberi khidmat sokongan kepada industri dalam urusan berkaitan dengan permohonan Jabatan dan Agensi Kerajaan, serta menyediakan perkhidmatan profesional berkaitan perindustrian seperti perakaunan, percukaian, perundangan, projek tenaga boleh diperbaharui.

“Pada fasa pasca-pelaburan, Kerajaan Negeri melalui Invest Melaka mengadakan perjumpaan industri dengan Jabatan atau agensi kerajaan bagi mengatasi masalah teknikal proses pembuatan dan seterusnya mencari ruang kerjasama untuk program kesedaran Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan peningkatan pelaburan dan tanggungjawab sosial, serta mewujudkan program jaringan sosial industri supaya industri berpeluang untuk berkenalan, bertukar pandangan selain mengatasi masalah secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, bersama MCORP pula, Kerajaan Negeri telah melaksanakan lapan langkah untuk menambah baik ekosistem pelaburan di negeri ini.

Jelas beliau, antara langkah yang digariskan adalah melaksanakan pendekatan berfokus bagi memastikan penggalakan pelaburan asing dan tempatan meliputi projek yang berkualiti, bernilai tambah dan berteknologi tinggi, selain mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi di peringkat Persekutuan.

Selain itu, ujar Ketua Menteri, Kerajaan Negeri menerusi MCORP turut membangunkan tiga kawasan perindustrian baharu iaitu German Technology Park, MCORP High Tech Park dan Elkay Fasa 2 yang kondusif, bercirikan kawasan perindustrian terkini, lengkap dengan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik bervoltan tinggi, bekalan air, gas asli, keselamatan tinggi serta telekomunikasi yang pantas bagi memacu transformasi industri berskala besar dan memenuhi keperluan industri era baharu.

MCORP juga, kata beliau, turut berperanan mengenal pasti dan menyalurkan maklumat vendor-vendor tempatan yang mampu menyediakan perkhidmatan kepada pelabur-pelabur asing berskala besar seperti Xinyi, Texas Instrument dan Infineon Technologies, selain memanfaatkan portal MYSite Selection yang dibangunkan oleh MIDA untuk tujuan mempromosikan tanah industri milik MCORP kepada pelabur yang sedang mencari lokasi pelaburan di Malaysia.

“Antara langkah lain MCORP ialah penglibatan secara aktif di dalam mesyuarat Jabatan Bersama Industri (JBI) bagi membentangkan cadangan penambahbaikan atau menyelesaikan isu berkaitan industri di Negeri Melaka, secara tidak langsung turut menjadikan iklim pelaburan di Melaka stabil dan mesra pelabur.

“Selain itu, perbadanan itu turut membangunkan prasarana-prasarana sokongan perindustrian seperti gudang, rumah pekerja industri, dan tempat meletak kenderaan berat bagi kemudahan kepada pelabur serta memperkasa jaringan infrastruktur yang lebih baik melalui pelaksanaan projek lebuhraya dan pengangkutan yang berskala besar seperti Lebuhraya Pesisir Pantai, West Coast Expressway (WCE), Interconection Highway dan High-Speed Rail (HSR) bagi memberi kemudahan kepada pelabur dan mendokong kepada pembangunan kawasan industri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post Kerajaan Negeri hanya belanja 16 peratus kos Fan Bingbing
Next post RM43.5 juta selesai masalah pengairan sawah DUN Klebang Fasa 2
Ubah saiz-+=