Ekor dipotong, dicampak dalam longkang
TABOH NANING 2 Ogos – Sudahlah ekor dipotong, anak anjing dicampak ke dalam longkang berarus deras dalam kejadian di Taman Bandar Baru, Simpang Ampat, di sini, jam 10 pagi tadi.
Kejadian disedari Yazid Lee, 41, selepas terdengar bunyi salakan anak anjing berkenaan yang ditemui tersangkut di tebing longkang besar berkenaan.
Yazid berkata, pada mulanya dia mencari arah bunyi berkenaan disekeliling bengkel tayar tempat kerjanya namun gagal.
“Saya cuba mengangkat anak anjing itu dari longkang tetapi gagal berikutan arus deras susulan hujan lebat pada awal pagi.
“Selepas mencuba lebih 30 minit, saya hubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Alor Gajah bagi mendapatkan bantuan.
“Ketika diselamatkan anak anjing itu nampak lemah mungkin kerana lama berada dalam air, lebih menyedihkan ekornya tiada mungkin sudah dipotong kerana ada kesan darah,” katanya.
Katanya, selepas diselamatkan haiwan berkenaan kini dijaga seorang pemilik kedai berhampiran.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan anak anjing tersebut.
Katanya, kerja-kerja menyelamat mengambil masa 25 minit bagi membawa naik anak anjing tersebut yang terjatuh pada kedalaman 10 meter.
“Kita dapati ekornya ada kesan terputus semasa diselamatkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.