Ekopelancongan Paya Lebar ibarat bulan jatuh ke riba
AYER LIMAU 19 Julai – Masyarakat di Kampung Paya Lebar, di sini terutama nelayan sungai menyifatkan projek ekopelancongan Paya Lebar bernilai RM2.036 juta ibarat bulan jatuh ke riba.
Ini kerana mereka sudah lama menanti projek seumpama itu dilaksanakan bagi melengkapkan aktiviti membawa kaki pancing dan pelancong menyusuri beberapa sungai yang dikelilingi hutan paya bakau sebelum ini.
Nelayan veteran, Mohamad Jantan, 75, berkata sebelum ini nelayan membawa kaki pancing menyusuri Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi untuk mencuba nasib mendapatkan udang galah dan ikan.
“Alhamdulillah, dengan adanya projek itu, kami harap lebih ramai kaki pancing dan pelancong datang ke kampung kami untuk memancing dan menyusuri sungai sambil menikmati pemandangan indah hutan paya bakau di sepanjang sungai,” katanya di kampung itu.
Pengusaha Taman Lokan di Tebing Urut, Zainal Md Ali, 72, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana sudi membantu meningkatkan industri pelancongan di kampung itu.
“Saya sudah mengusahakan Taman Lokan sejak enam tahun lalu dan saya membawa sendiri pelancong dari jeti Tebing Urut ke taman itu untuk membolehkan mereka menikmati pengalaman mencari lokan dalam tanah lumpur di tebing sungai,” katanya.
Abdul Maulud Idris, 59, berkata dia sudah bersedia membawa lebih ramai pelancong untuk menyaksikan sendiri aktiviti nelayan sungai memancing udang galah, menarik jaring ikan dan seumpamanya.
“Sebelum ini nelayan menggunakan pangkalan nelayan sebagai jeti untuk menaiki perahu menyusuri sungai dan dengan adanya projek itu, jeti khusus untuk pelancong sedang dibina bagi memudahkan mereka menaiki bot,” katanya.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan projek ekopelancongan Paya Lebar kini sedang dalam fasa akhir yang mana pembinaan jeti untuk kemudahan pelancong telah dimulakan pada 10 Jun lalu itu dijangka siap sepenuhnya pada awal September depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.