
EKONOMI MELAKA KEKAL KOMPETITIF, INKLUSIF DAN BERDAYA SAING
SERI NEGERI 28 April – Ekonomi Negeri Melaka kekal kompetitif, inklusif dan berdaya saing berdasarkan indikator dan data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia dapat dilihat apabila pendapatan per kapita negeri meningkat kepada RM53,922, manakala pada suku keempat 2024, kadar pengangguran di negeri ini hanya 1.8 peratus.
Jelas beliau, kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding kadar nasional iaitu 3.2 peratus.
“Selain itu, inflasi di Melaka juga kekal pada kadar 1.6 peratus. Semua indikator ini membuktikan ekonomi Melaka kekal kompetitif, inklusif dan berdaya saing, menjadikan negeri ini destinasi pelaburan yang diyakin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, pada 2023, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Melaka telah meningkat kepada RM46.9 bilion, meningkat tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau memaklumkan, sektor perkhidmatan kekal menjadi tunjang utama negeri dengan menyumbang sebanyak 51.2 peratus, diikuti pembuatan (36.1 peratus), pertanian (10.3 peratus) dan pembinaan (2.1 peratus).
Sementara itu Mengulas berhubung isu tarif baharu America Syarikat sebanyak 24 peratus ke atas barangan Malaysia, Ab Rauf mengakui ia akan memberi cabaran baharu untuk seluruh negara termasuk Melaka, khususnya dalam sektor semikonduktor.
Namun, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak alpa dengan situasi ini, sebaliknya terus melangkah ke hadapan dengan langkah yang strategik dan pragmatik demi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri kekal progresif dan berdaya tahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.