Sorting by

×

EKONOMI MELAKA BERKEMBANG PADA KADAR TIGA PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 25 April – Kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka direkodkan sebanyak RM46.9 bilion sepanjang 2023 menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri pada kadar tiga peratus.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, kadar KDNK Negeri Melaka meningkat berbanding pada tahun 2022 dengan rekod RM45.5 bilion.

Katanya, pendapatan perkapita Melaka pada tahun 2023 adalah sebanyak RM53,922 berbanding RM50,407 pada tahun 2022.

“Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang tertinggi ekonomi negeri sebanyak RM24 bilion bersamaan 51.2 peratus.

“Sementara itu sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua tertinggi sebanyak RM17 bilion atau 36.1 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak RM4 bilion (10.3 peratus) dan sektor pembinaan sebanyak RM996 juta (2.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Tun Dr. Mohd Ali turut berharap ekonomi Melaka akan terus berkembang selari dengan ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

“Saya harap ekonomi Negeri Melaka akan terus berkembang meskipun berhadapan dengan cabaran ketidakseimbangan ekonomi dunia kini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

246
Kongsi :
Previous post TMM2024 POSISIKAN MELAKA DI PETA PELANCONGAN DUNIA
Next post PASTIKAN SISTEM JALAN RAYA, ALIRAN TRAFIK DI MELAKA DALAM KEADAAN TERBAIK – TYT