Ejen hartanah didakwa langgar anggota polis dalam sekatan jalan raya
PETALING JAYA, 9 Feb – Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar seorang anggota polis sehingga cedera parah dalam satu sekatan jalan raya (SJR), awal bulan ini.
Yap Kah Wai, 29, didakwa melanggar Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, menggunakan kereta di SJR Jalan Besar Seri Kembangan, menghala ke Pekan Seri Kembangan di sini, pada 1.50 pagi, pada 5 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat tidak menawarkan jaminan kerana mangsa mengalami cedera parah selain tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau antaranya dadah, samun dan mencuri kenderaan.
Peguam Kailash Sharma memohon jaminan mengambil kira faktor anak guamnya itu belum dibuktikan bersalah, namun Hakim Jamaludin Mat tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 5 Feb lepas, Bernama melaporkan seorang anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika bertugas dalam SJR dan akibat kejadian itu, mangsa patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua tangan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.