‘Easy Shop Melaka’ platform digital pacu sektor keusahawanan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 8 Mac – Sebuah platform digital yang dikenali sebagai Easy Shop Melaka antara program bakal dibangunkan bagi memperkasakan sektor keusahawanan negeri secara komprehensif dan inklusif pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu salah satu intipati di bawah tema utama Melaka Negeri Usahawan dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dilancarkan hari ini.

Jelasnya, melalui pelan itu kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada membina dan membangunkan industri keusahawanan sedia ada yang lebih berdaya saing serta memberikan tumpuan untuk menjana industri baharu yang dilihat lebih berjaya di luar dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Melalui flagship ini, antara program yang akan dilaksanakan seperti pelancaran platform digital Melaka yang dikenali sebagai Easy Shop Melaka.

“Tidak hanya itu, program seperti Melaka Agro Market (Mix Market) dan pengisian serta pengoperasian usahawan di premis Melaka Halal Hub Serkam juga menjadi antara program yang akan dirangka.

“Kerajaan negeri turut berhasrat menyemarakkan lagi program dan budaya keusahawanan di Melaka sepanjang tahun ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PSMJ 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bidang keusahawanan dilihat mempunyai potensi yang cukup besar memandangkan melalui kursus keusahawanan secara dalam talian yang dianjurkan Institut Tun Perak pada 18 dan Februari lalu telah berjaya menarik minat 325 usahawan Melaka untuk mendaftarkan diri.

Tambahnya, sekiranya ada dalam kalangan usahawan atau peniaga yang memerlukan sokongan dan bantuan, kerajaan negeri sentiasa bersedia menghulurkan tangan untuk membantu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post Kerangka 4K jadi tumpuan dalam memperkasa wanita- Rina
Next post Janji temu penerima vaksin tidak tersenarai dalam fasa pertama dibatalkan
Ubah saiz-+=