‘DUYUNG’ CILIK MELAKA MILIKI POTENSI BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 4 Oktober – Kejayaan anak-anak Melaka dalam sukan renang sirip atau ‘Finswimming’ disifatkan sebagai cukup membanggakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Ini kerana menurutnya, kejayaan yang ditempa bukan sahaja dalam kejohanan di peringkat kebangsaan, bahkan antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya memaklumkan antara kejayaan terbaharu diraih perenang Melaka di bawah Penguin Swimming Club (PGSC) adalah menerusi Zara Aleesya Mohamad Suadi, 12; Muhammad Dawish Amssyar Rusli, 18 dan Ainoor Adhwa Irsyad Mohd Noor, 17 tahun.

Jelas beliau, Zara telah meraih lima pingat emas, sementara Muhammad Dawish berjaya membawa pulang empat emas dan satu perak pada pada Penang State Invitational TYT Cup Finswimming Championship 2024.

Manakala Ainoor Adhwa pula meraih pingat gangsa dalam Kejohanan CMAS Finswimming World Cup Round 4 di Phuket, Thailand, baru-baru ini.

“Saya berharap kita akan terus memberi sokongan kepada pembangunan sukan renang, termasuk Finswimming ini di Melaka.

“Saya gembira apabila melihat golongan ibu bapa sendiri banyak menyokong dan memberi dorongan kepada anak-anak dan ekosistem sukan ini, selain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut banyak memberi kerjasama dalam sudut fasiliti.

“Saya percaya ini akan menjadi pemangkin dalam kita menempa lebih banyak kejayaan dalam pelbagai kejohanan yang dianjurkan selepas ini,” katanya.

6336888933312478973
ADAM Adli menunjukkan pingat yang dimenangi atlet Finswimming Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke tempat latihan Finswimming Melaka di Pusat Akuatik Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Presiden FinSwimming Melaka merangkap pengasas dan Ketua Jurulatih PGSC Mohd Azwim Kamarulzaman.

Dalam pada itu, Adam Adli dalam ucapannya turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada PGSC dalam membantu memperkasakan lagi sukan renang dan renang sirip di Negeri Melaka.

Beliau turut menyeru syarikat-syarikat korporat untuk bersama membantu pembangunan akar umbi dalam apa jua sukan demi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post KIOS MPHTJ BUKA HINGGA 12 TENGAH MALAM
Next post BAJET 2025: PERKASA KEBAJIKAN PENIAGA KECIL
Ubah saiz-+=