DUYONG ‘ROSAK’, LEBIH 15,000 DIJANGKA GEGAU LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONG KITA 2024
BANDARAYA MELAKA 12 Disember – Kira-kira 15,000 dijangka memeriahkan penganjuran edisi kedua Larian Budaya Antarabangsa Duyong Kita yang akan berlangsung pada 22 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, berbanding penganjuran kali pertama tahun lalu dengan tidak sampai 3,000 penyertaan, edisi kali ini lebih gamat apabila ia bakal membabitkan keseluruhan 7,500 peserta.
Menurutnya, dalam tempoh 18 hari pendaftaran dibuka, pihaknya telah menerima 5,500 penyertaan sehingga terpaksa membuka pendaftaran kedua dan ia penuh tidak sampai dua jam.
“Selain orang Melaka dan beberapa penyertaan dari negeri lain antaranya Perak, Pulau Pinang dan Selangor kita juga menerima penyertaan dari Indonesia, Brunei serta Singapura.
“Boleh dikatakan penganjuran kali ini lebih meriah kerana ia akan disertai juga oleh kira-kira 30 anak-anak istimewa dari Kuala Lumpur dan terdapat juga penyertaan dari Orang Asli.
“Menariknya juga pada kali ini ada pertambahan dua lagi ‘check point’ menjadi kesemua lima hentian dengan setiap satunya akan ada persembahan antaranya Baba Nyonya, Portugis dan Chetti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran di segmen Apa Khabau YB Melaka FM, hari ini.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, meskipun larian hanya akan bermula pada Ahad, namun pada Jumaat malam pelbagai aktiviti sudah bermula di sekitar perkarangan Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.
“Selain larian sudah pasti beberapa program iringan lain termasuk persembahan pentas akan berlangsung sehinggalah selesai penganjuran dan juga sesi cabutan bertuah pada petang Ahad.
“Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dijangka akan merasmikan program ini, selain turut menyumbang barangan elektrik untuk cabutan bertuah.
“Setakat ini keseluruhan hadiah yang berjaya dikumpul lebih 500 dan hadiah utama adalah panel solar bernilai hampir RM12,000, dan terdapat juga lapan buah motosikal,” katanya.
Tambah Mohd Noor Helmy, bagi memastikan kelancaran program juga pihaknya turut mendapat kerjasama keanggotaan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang akan bertugas sepanjang larian.
“Sudah pastinya sepanjang larian berlangsung akan berlaku kesesakan jadi saya harap pengguna jalan raya dapat bersabar kerana hanya dua kali setahun sahaja Duyong ‘rosak’.
“Sebagai persediaan untuk sebarang kejadian tidak diingini juga kita turut menyediakan empat buah ambulans dan anggota perubatan yang akan memberi bantuan awal kecemasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.