Duta Kesihatan Persekitaran MPHTJ bantu bendung denggi

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melantik seramai tujuh orang Duta Kesihatan Persekitaran bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai berhubung aspek kebersihan dan membendung penularan wabak denggi dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, inisiatif itu mula diperkenalkan di Taman Datuk Tamby Chik Karim menerusi penganjuran Kempen Cegah Wabak Denggi berlangsung baru-baru ini.

“Selain melantik duta pelbagai program telah dilaksanakan seperti membersihkan rumah terbiar, longkang belakang kediaman, kawasan rezab dan kebun haram sekitar kawasan pentadbiran MPHTJ.

“Program ini dijayakan dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).

“Usaha dilaksanakan ini diharapkan dapat mengurangkan risiko penularan wabak denggi sekitar Taman Datuk Tamby Chik Karim,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata, bagi membudayakan amalan hijau MPHTJ turut melaksanakan Projek Rintis Kitar Semula yang dianggap sebagai inisiatif serampang dua mata dalam membendung wabak denggi.

“Projek rintis ini melibatkan 16 buah rumah di Jalan Jasa Merdeka 25, pemilik kediaman diberikan tong sampah 120 liter percuma.

“Ia mampu mengurangkan tabiat mengumpul barangan kitar dalam kawasan rumah yang sebenarnya boleh meningkatkan lagi risiko pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post 28 mangsa dipindahkan ke PPS Kampung Paya Lebar
Next post Op Kesan 2.0 Fasa 1, KPDN periksa 80 premis
Ubah saiz-+=