
Duta besar Malaysia: Pelantikan Tajuddin dapat persetujuan Indonesia
PUTRAJAYA, 18 Mei – Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu telah mendapat persetujuan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata beliau difahamkan Tajuddin telah mendapat surat daripada Presiden Indonesia yang bersetuju dengan pelantikan itu.
“Kita telah setuju lantik (Tajuddin sebagai duta) dan Indonesia juga setuju,” katanya mengulas reaksi beberapa pihak berhubung pelantikan Tajuddin itu ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini hari ini.
“Dia (Tajuddin) orang politik yang lama serta berpengalaman,” tambah Ismail Sabri.
Semalam, Tajuddin dilaporkan mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang diplomat Datuk Zainal Abidin Bakar.
Ketika ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq mengetuai anggota kedutaan di negara berkenaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.