Duta Besar Jerman Ke Malaysia zahir sokongan ‘German Week’ di Melaka
KUALA LUMPUR 22 Mac – Penganjuran ‘German Week’ di Melaka adalah cetusan idea yang baik untuk membuka peluang kepada bakal pelabur dan pemain industri Jerman bertapak di negeri itu.
Duta Besar Jerman Ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer berharap, bakal pelabur tidak melepaskan peluang untuk hadir ke program dianjurkan bagi mengintai peluang ditawarkan Kerajaan Melaka kepada mereka.
Selain itu beliau, turut menzahirkan sokongan atas usaha Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan inisiatif ‘German Week’ sebagai langkah proaktif untuk mempromosikan German Technology Park (GTP).
“Sebanyak 700 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia, kami melabur, bekerja, membayar cukai dan menjalankan aktiviti berkaitan pembelajaran serta pengajaran teknologi kepada generasi muda di sini.
“Perjanjian ditandatangani ini bakal menjadi titik penentu untuk masa depan yang cerah seterusnya menarik minat lebih ramai pelabur Jerman untuk menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta lapan pemilik tanah bagi pembangunan GTP di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod, Malaysia dan Jerman mempunyai hubungan dagangan yang sangat erat dengan nilai pelaburan sebanyak RM70.24 bilion pada tahun 2023, menyaksikan nilai dagangan dengan Jerman semakin berkembang kepada 5.9 peratus berbanding nilai RM63.45 bilion berbanding RM59.87 bilion pada tahun 2022.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.