DURIAN TUNGGAL SEMAKIN ‘RIUH’
DURIAN TUNGGAL 19 September – Merakyatkan pentadbiran di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi antara misi yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.
Menurut beliau, dalam merealisasikan hasrat itu, pelbagai program bersama masyarakat telah dianjurkan sepanjang tahun, antaranya, penganjuran Fiesta Bendang Durian Tunggal pada Julai lalu.
Menurut beliau, program berkonsep santai seumpanya menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan penduduk masyarakat setempat dari pelbagai peringkat usia.
Selain itu, jelas beliau, penganjuran program terbabit secara tidak langsung dapat mempromosikan DUN Durian Tunggal kepada orang luar.
“Fiesta Bendang Durian Tunggal ini akan dijadikan sebagai acara tahunan, di mana kita mahu membiasakan rakyat dengan aktiviti reakreasi berkonsepkan acara kampung.
“Secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada anak-anak kecil dan golongan remaja tahu akan asal usul terutamanya mengenali sukan tradisional yang semakin dilupakan.
“Menerusi program ini ia akan merapatkan lagi silaturahim antara penduduk setempat dan juga pemimpin masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, beberapa acara lain seperti Sukan DUN Durian Tunggal dan Kelas Intensif Takraw Mingguan turut diadakan dalam menjadikan Durian Tunggal sentiasa meriah dengan aktiviti.
“Menerusi aktiviti sebegini kita ingin menggalakkan bukan sahaja orang muda tetapi semua untuk bersukan.
“Malah kita juga turut menyantuni dan memberi sumbangan di setiap spot lokaliti sukan agar mereka dapat melakukan aktiviti sukan seperti bola sepak, futsal dan sepak takraw,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, pihaknya kini sedang giat membangunkan prasarana sukan dan rekreasi untuk golongan muda dengan membuat permohonan bagi membina baharu, selain membaiki serta menaik taraf kemudahan sedia ada.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.