Sorting by

×

Durian mahal: Penjual terpaksa ‘telan’ kecaman, rungutan pembeli

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BUKIT BARU 15 Mei – Penggemar raja buah pastinya dapat merasai perbezaan harga durian yang dijangka naik mendadak pada tahun ini.

Bagi mereka yang sememangnya ‘hantu’ durian mungkin tidak mempunyai masalah untuk membeli buah berkenaan pada harga mahal.

Namun, bagaimana pula nasib golongan marhaen yang mungkin terpaksa berkira-kira untuk merasai keenakan raja buah itu apabila tiba musimnya nanti.

Lantaran isu kenaikan harga durian, Melaka Hari Ini (MHI) cuba mendapatkan respon beberapa penjual durian di sekitar Bukit Baru.

Seorang peniaga yang sudah menjual durian lebih 10 tahun, Muhammad Ridhuan Lau, 58, berkata, harga durian meningkat pada tahun ini adalah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ujarnya, hujan terlalu lebat antara penyumbang keberhasilan buah durian kurang selain menyifatkan eksport durian ke negara China terlalu banyak menyebabkan harga durian dalam negara melambung tinggi.

Atas sebab itu, katanya, harga durian mungkin meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus tahun ini.

“Tahun ini keberhasilan durian kurang, menjadikan durian yang dijual dalam negara mahal. Perkara tersebut disebabkan cuaca yang tidak menentu selain ambil kira baja dan kos pekerja juga meningkat.

“Import durian seperti IOI, Musang King dan Black Thorn (duri hitam) ke China juga antara penyebab harga durian semakin mahal.

“40 peratus kekurangan keberhasilan durian pada tahun ini, sebagai penjual modal saya untuk membeli durian dari pekebun pun sudah tinggi.

“Kalau dahulu harga durian kahwin dari pekebun RM6 ke RM8 sekilogram tapi tahun ini sudah mencecah RM11, belum kira durian-durian lain. Jadi itu sebab orang tempatan terpaksa membeli dengan harga yang tinggi,” katanya.

DURIAN ‘reject’ RM10 sekilogram mungkin akan menjadi pilihan pembeli kurang berkemampuan.

Manakala bagi Izhar Ujang, 31, dia mengambil inisiatif dengan menjual durian ‘reject’ bagi mengatasi masalah harga durian mahal pada tahun ini.

Ujarnya, durian ‘reject’ itu bukanlah durian busuk, sebaliknya ia hanyalah durian yang kulitnya sudah tidak cantik, ada yang terkopek dan isinya masih elok dan sesuai dijual.

Dia yang bekerja sepenuh masa menjual durian turut menjual durian jenis IOI Gred AAA, Udang Merah dan Musang King selain durian kampung mengikut gred.

“Kita penjual terpaksa naikkan harga kerana kita pun menanggung kerugian, kerana apabila pelanggan beli durian dan dapat buah tu rosak, kita ganti dengan buah baharu.

IZHAR menunjukkan isi durian IOI AAA yang dijualnya.

“Kerosakan buah memang kita tanggung, cuma yang tak boleh tukar di kebun, beli di kedai boleh tukar.

“Pada saya, walau harga durian meningkat sekalipun pasti akan ada yang membeli, kerana durian yang sedap dan bermusim ini mempunyai peminat yang tersendiri.

“Cuma pada tahun ini, harga raja buah ini dijangka lebih mahal berbanding tahun sudah, saya sebagai penjual pun terkesan namun bersedia untuk menerima pelbagai kritikan, dan sebagai penjual, kami mengikut arus semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1733
Kongsi :
Previous post Lelaki ditikam, ditetak dalam pergaduhan meninggal dunia di hospital
Next post Pelajar maut motosikal dilanggar dua kereta
Ubah saiz-+=