Duo Brazil ‘senjata’ baharu Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KEMASUKAN dua pemain import baharu, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo diyakini mampu menjadi senjata ampuh buat Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) merobek gawang lawan pada pusingan kedua Liga Super pada awal Julai depan.

Ketua Jurulatih MUFC Zainal Abidin Hassan berkata, pertukaran dua pemain dari Brazil itu menggantikan tempat penyerang import terdahulu, Alex dos Santos Goncalvez dan Stefan Nikolic amat penting memandangkan faktor menjaringkan gol menjadi antara kelemahan utama skuad Hang Tuah.

Jelasnya lagi, faktor keserasian dua pemain baharu itu juga menjadi antara faktor yang diyakini boleh memberi kelebihan besar buat skuad kendaliannya keluar dari zon penyingkiran.

“Bagi saya kita dapat lihat kegagalan pemain yang lepas amat ketara sekali dengan peluang-peluang yang diperolehi (gagal dimanfaatkan) dan juga tak nafikan kecederaan yang menimpa Alex… bahagian serangan paling penting untuk pasukan.

“Bagi saya pertukaran kedua-dua penyerang amat penting dan amat diperlukan untuk pasukan.

“Mereka (Giovane Gomes dan Adriano Narcizo) mengenali sesama sendiri dan jika tempoh singkat ini ingin mengambil pemain import secara berasingan banyak kerja yang saya perlu buat.

“Jadi pengalaman mereka di sini boleh dikatakan mereka mempunyai persefahaman yang baik, jadi untuk menyerap dalam pasukan saya rasa lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Zainal turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan MUFC yang terus memberi kepercayaan kepadanya mengendalikan pasukan itu meskipun berdepan kecaman dalam pelbagai sudut.

“Bagi saya apa yang perlu saya perbaiki, saya akan perbaiki…, terima kasih kepada pihak pengurusan yang masih memberi kepercayaan kepada saya dan ini adalah masa untuk saya membuktikan sesuatu.

“Saya juga bersyukur kerana permintaan saya untuk menukar penyerang juga telah diterima pihak pengurusan, jadi tanggungjawab saya lebih penting dan lebih berat untuk pasukan ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

739
Kongsi :
Previous post Pesakit COVID-19 di PKRC MITC dijangka meningkat
Next post Guru didakwa terima deposit haram RM284,200 daripada 12 individu
Ubah saiz-+=