Sorting by

×

DUN Rembia: Kebajikan penduduk tetap dijaga

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ASAHAN 16 Julai – Kebajikan penduduk di  Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia tidak akan diabaikan, sebaliknya akan terus diberikan perhatian oleh Datuk Fairul Nizam Roslan sebagai penyelaras DUN berkenaan.

Fairul Nizam berkata, sejak menjadi penyelaras DUN Rembia November tahun lalu, beliau sudah menyelesaikan ratusan aduan  membabitkan soal kebajikan penduduk.

Katanya, ia  juga termasuk hal-hal tertunggak perlu diselesaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terbabit, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Ditanya mengenai status Muhammad Khamis yang sah menyertai PAS, Fairul Nizam berkata, ia adalah keputusan Adun berkenaan sendiri dan menyerahkan kepada kepimpinan UMNO untuk tindakan selanjutnya.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk apa tindakan selanjutnya, terserah kepada parti.

“Sekadar perkongsian, beratus kes kebajikan termasuk yang tertunggak sejak saya mengambil pentadbiran DUN Rembia seperti mana yang diamanahkan Kerajaan Negeri sejak November lalu telah diselesaikan.

“Kalau sudah itu keputusannya, saya nak buat apa?…’no comment’, jangan risau sebab rakyat semakin matang, mereka sudah tahu memilih pemimpin mana yang betul atau parti mana yang boleh mengemudi Melaka dan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular Negeri Melaka di Japerun Asahan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka, Syed Isa Alsagoff, Pengarah Jabatan Penerangan negeri (JaPen), Ab Rasil Hajatil, Ketua Pegawai Operasi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Mohd Jailani Deraman serta tetamu lain.

Terdahulu, bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Muhammad Jailani yang digantung keahliannya dalam UMNO telah menyertai parti itu sejak Jun tahun lalu.

Malah katanya, penyertaan Jailani pada parti itu adalah lebih kurang sebulan sebelum DUN Melaka meluluskan undang-undang anti lompat parti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3022
Kongsi :
Previous post ‘Semua Adun patut fokus bantu rakyat’
Next post Bina tiga Rumah Transit di Parlimen Alor Gajah
Ubah saiz-+=