DUN Merlimau: Buka puasa sekampung di Dataran Orang Kampung
MERLIMAU 10 April- Dataran Orang Kampung di Merlimau Utara kini menjadi lokasi berbuka puasa secara santai di atas padang bermula 9 April hingga berakhir Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata berkonsepkan ‘buka puasa sekampung’ itu adalah buat pengunjung yang gemarkan suasana tenang, lapang serta santau seperti di kampung untuk berbuka puasa.
Katanya, pada hari pertama program tersebut dimulakan, seramai 300 pengunjung bersama-sama berbuka di atas padang dataran terbabit.
“Program buka puasa sekampung ini konsepnya santai, orang ramai boleh bawa makanan yang dibeli di bazar Ramadan atau ‘potlak’ , serta bawa makanan sendiri dan berkumpul di Dataran Orang Kampung untuk berbuka bersama.
“Ada yang datang bentang tikar, buka beramai-ramai secara santai bersila, dan konsep ini bagi menarik pengunjung untuk rasai konsep buka puasa sekampung dan tanpa kira limit serta percuma.
“Di sini juga, semuanya dekat, Masjid Asy Suja’ah, Merlimau Utara juga kurang 200 meter dari dataran lokasi berbuka ini buat mereka selepas berbuka tunai solat Maghrib seterusnya bertarawih bersama,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, di dataran itu juga turut disediakan aktiviti santai sementara menunggu berbuka dengan pengisian tazkirah ringkas.
Katanya, beliau juga menyasarkan hampir 10,000 pengunjung sehingga berakhir Ramadan untuk berbuka puasa di dataran tersebut.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut hadir berbuka puasa di dataran tersebut dan sempat berkongsi tazkirah sebelum berbuka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.