DUN Melaka ucap tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17
SERI NEGERI 5 Mac – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini, menyembahkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ia bersempena pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Sembah tahniah itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang mewakili dewan, Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Melaka.
“Melalui dewan ini, saya mewakili dewan, Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Melaka mengambil kesempatan untuk menyembahkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sempena pelantikan baginda sebagai yang di-Pertuan Agong ke-17.
“Dewan ini yakin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda akan mengurniakan segala kebaktian kepada negara dan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Tun Dr. Mohd Ali dalam ucapannya turut mewakili Negeri Melaka menyembah junjung kasih dan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-16 Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Menurut beliau, segala nasihat dan pendapat baginda adalah amat dihargai oleh kerajaan.
“Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, baginda telah berkenan memasyhurkan sebanyak 2 buah masjid di negeri melaka iaitu Masjid Al-Sultan Abdullah di Masjid Tanah pada tahun 2019 dan Masjid Ar-Razak Pasir Puteh Bachang pada tahun 2023.
“Sempena kunjungan baginda ke Negeri Melaka, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta mencemar duli bertemu dengan rakyat Negeri Melaka di bazar Ramadan.
“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Melaka menjunjung kasih atas jasa dan kasih sayang kebawah duli tuanku kepada negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.