DUN Asahan perkasa tuisyen rakyat
AYER KEROH 15 Disember – Sebanyak RM20,000 diperuntukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan kepada lima sekolah menengah kebangsaan (SMK) bagi memperkasa kelas tambahan atau tuisyen rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata sekolah yang terlibat adalah SMK Nyalas, SMK Selandar, Sekolah Menengah Arab (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) As-Syakirin, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar dan SMK Simpang Bekoh.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, kesemua lima sekolah terbabit menerima peruntukan secara berfasa dalam bentuk bantuan secara ‘one-off’ RM1,000 selain RM2,000 bagi tuisyen rakyat serta bantuan pelajar daripada golongan B40 seramai 120 orang.
“Peruntukan kita terima daripada Yayasan Bank Rakyat sebanyak RM20,000 untuk program pendidikan tuisyen rakyat. Namun pada tahun pertama kita laksanakan ia kurang mendapat sambutan.
“Jadi kita selaraskan untuk beri peruntukan tersebut ke sekolah-sekolah di mana lima sekolah dalam DUN Asahan termasuk satu dalam DUN Rim tetapi 80 peratus penduduk dari DUN Asahan.
“Peruntukan yang diberi itu untuk memperkasa kewangan di peringkat sekolah dalam melaksanakan kelas-kelas tambahan buat pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menambah kertas latihan, kebajikan guru-guru dan sebagainya,” katanya
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPKK di Masjid An-Nur Felda Bukit Senggeeh, di sini, semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.