Sorting by

×

‘Dulu tempa nama dengan BN, sekarang menghina’ – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MELAKA 13 Nov – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengungkapkan Barisan Nasional (BN) sudah berakhir umpama penghinaan kepada parti itu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad yang juga Pengerusi BN ternyata kecewa dengan kata-kata yang mengguris parti itu meskipun sebelum ini Muhyiddin menempa nama dalam dunia politik menggunakan sokongan akar umbi parti berkenaan.

“Tidak mengapalah, Pengerusi PN mahu menyatakan apa pun kerana pendokong dan penyokong BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya pada PRU-14 (Pilihanraya Umum ke-14) yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan di laman Facebook peribadinya, di sini hari ini sebagai mengulas ucapan Muhyiddin ketika Ceramah Umum PN PRN pada Rabu lalu.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata sejarah BN sudah berakhir kerana rakyat lebih cenderung untuk melihat Malaysia terbentuk atas dasar lebih adil dan saksama.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, meskipun pelbagai tohmahan mahupun cercaan dan cacian dilemparkan terhadap BN, ia sama sekali tidak mengurangkan keyakinan penyokong di seluruh negara terhadap parti itu.

Jelasnya, malah ia menambah semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk berjuang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah Ilahi.

“Penghinaan Pengerusi PN itu malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi PRN Melaka kali ini.

“Seluruh jentera, ahli dan penyokong BN berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepada PN bahawa sejarah BN belum berakhir,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan akar umbi UMNO yang memutuskan tidak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu adalah langkah tepat.

Tambahnya, kata-kata Muhyiddin itu disifatkannya menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar ke atas BN dan UMNO secara umum.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

997
Kongsi :
Previous post Kerajaan benarkan RTM siar poster dan biodata calon bertanding PRN Melaka mulai esok
Next post Teruja pertama kali PM datang kedai rasa ‘coconut shake’
Ubah saiz-+=