Dulu niaga guna kereta tolak, kini ‘anak Serani’ miliki kiosk sendiri
AYER KEROH 29 Jan. – ‘Sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit’. Itu perumpamaan yang sesuai menggambarkan kegigihan pengusaha jus mangga Joe’s Only One Mango Juice di Kampung Portugis, dekat sini.
Jika diawal perniagaan sekitar tahun 2000, hanya satu cawan saja berjaya dijual setiap hari, kini pengusahanya ‘tidak menang tangan’ melayan pembeli.
Anak pemilik Joe’s Only One Mango Juice, Danny De Costa, 50, berkata, perniagaan itu diusahakan bapanya apabila bersara dari Tenaga Nasional Berhad, memandangkan ketika itu tiada peniaga lain mengusahakannya.
“Mula-mula niaga jus mangga orang tidak tahu lagi dan laris pun hanya secawan saja dalam sehari.
“Masa itu bapa niaga guna kereta tolak roda tiga, tapi dia tak pernah putus asa untuk terus niaga sampai lah dikenali ramai,” katanya ketika ditemui MHI hari ini.
Jelasnya, berkat usaha serta tidak pernah putus asa, jus mangga bapanya terus dikenali dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negeri.
“Di Kampung Portugis ramai pelancong, bila orang sudah cuba sekali mereka datang lagi dan bisnes pun semakin maju.
“Seingat saya waktu itu ayah yang pertama perkenalkan jus mangga di Melaka. Bila sudah dikenali ada kala sehari dalam masa empat jam, kami guna lebih 100 kilogram buah mangga untuk membuat jus.
“Jus ini tidak dicampur air dan 100 peratus pati buah mangga dan diletak asam boi sebagai perisa istimewa,” katanya.
Danny berkata, apabila keadaan kesihatan bapanya tidak mengizinkan, dia bersama adik-beradiknya berusaha mengambil alih bagi meneruskan perniagaan itu.
“Hampir tujuh tahun saya ambil alih perniagaan ini, bawa lori kecil berniaga di Ayer Keroh pada hari Rabu hingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.
“Manakala, dua adik saya teruskan perniagaan di kiosk di Kampung Portugis setiap hari kecuali Isnin dari jam 6 petang hingga 10 malam.
“Tapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kiosk itu ditutup dan hanya berniaga gunakan lori,” katanya lagi.
Katanya, jus mangga yang dijual RM3.50 secawan, RM4.50 (kurang ais) dan RM7.50 (tanpa ais) turut mendapat tempahan bagi majlis tertentu.