‘Dulu nenek dah pesan jangan merayau, tapi…’
SUNGAI PUTAT 15 Jan. – “Dulu nenek dah pesan jangan ‘ngengayau’ (merayau) merata-rata. Tapi sekejap je orang ingat. Bila ‘kobid’ (COVID-19) dah ‘slow’ sikit, semua langgau (langgar) pantang larang. Tengoklah apa yang jadi sekarang.”
Demikian luahan seorang nenek yang rakaman suaranya dalam dialek Melaka memberi nasihat berkenaan COVID-19 pernah tular seluruh negara kira-kira lapan bulan lalu.
Figura yang mesra dengan panggilan Nek Piyah atau nama sebenarnya Kamsiah Jantan, 71, mengakui sedih melihat situasi semasa negara yang dilanda gelombang ketiga COVID-19 sehingga kes positif harian mencecah lebih 3,000 kes sehari.
Situasi getir kini, ujarnya, turut disumbangkan oleh sikap sambil lewa orang ramai yang mengambil mudah wabak yang berlaku dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan.
“Mungkin ramai lupa kenapa musibah ini berlaku. Ramai yang ambil mudah seperti tidak memakai pelitup muka dan buat sesuka hati sehingga kes merebak lebih teruk. Yang mati pun sampai sudah lebih 500 orang.
“Nenek rasa kalau tak dipantau, tak tau la apa jadi lagi. Nenek sendiri takut dengan ‘kobid’ (COVID-19) ni.
“Bukan sebab takut mati, kalau dah ajal memang kita mati, tapi sebab penyakit ini kita tak nampak.
“Ingatlah segala yang berlaku dengan penyakit dan banjir adalah ujian dari Allah SWT,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Pada masa sama, Nek Piyah turut menitipkan pesanan kepada anak-anak yang bekerja di negeri lain agar tidak menziarahi ibu bapa dalam masa terdekat bagi membendung penularan wabak di kampung.
“Yang bekerja di ‘Kolumpo’ (Kuala Lumpur), kalau nak jumpa emak dan ayah telefonlah dahulu.
“Buat masa ini jangan balik dulu. Bila esok (COVID-19) dah tak ada barulah balik jumpa emak dan ayah di kampung. Kasihanilah mereka yang lebih berisiko dijangkiti,” katanya lagi.
Sementara itu, nada sama turut dikongsikan Hasnah Mohamad, 68, yang namanya disebut sebagai ‘Dak Senah’ dalam rakaman suara Nek Piyah yang tular itu.
Dia yang juga seorang peniaga makanan mengingatkan orang ramai khususnya rakyat negeri ini untuk mengamalkan pendekatan duduk di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).
“Penyakit sekarang ini kita tak nampak. Bila sudah terkena dia boleh berjangkit kepada ramai orang.
“Duduk sahajalah di rumah dan isi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti bersukan dan bersenam,” ujarnya.