Dulu nakal, kini belia ’emas’
MELAKA 3 April. – Satu ketika dulu, Muhammad Ali Imran Muda seorang remaja yang agak nakal dan kurang keyakinan diri.
Namun itu cerita dulu kerana hari ini, pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan Kolej Antarbangsa Putra Melaka itu mahu mencetuskan inpirasi dan perubahan kepada golongan belia seperti dirinya.
Segalanya bermula apabila dia memberanikan diri mendaftarkan diri menyertai Remaja Perdana Rakan Muda dengan hasrat mahu membaiki kualiti diri dan mencuba sesuatu baharu.
Muhammad Ali, 23, berkata, dia tidak yakin dapat meneruskan program itu memandangkan pelbagai cabaran dan masalah terpaksa dihadapi sendirian dan menjadi satu pengalaman baharu dalam hidupnya.
“Memang sukar pada mulanya tetapi sedikit demi sedikit, saya merasakan perubahan berlaku dalam diri dan kehidupan kerana sebelum aktif dalam program Rakan Muda ini, segala urusan orang lain yang lakukan untuk saya hingga tiada langsung keyakinan diri untuk berhadapan masalah.
“Paling sukar dalam komponen pengembaraan kerana saya terpaksa mendapatkan tajaan bagi program yang perlu digerakkan, namun berkat sokongan keluarga, rakan-rakan dan Majlis Belia Malaysia, akhirnya saya mampu lakukan, terima kasih,” katanya ketika ditemui MHI.
Muhammad Ali antara 37 belia di Melaka yang ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas peringkat negeri yang diraikan dalam majlis penyampaian anugerah tersebut oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Noorman Ramlan.
Selain berkongsi cerita duka, anak sulung dari empat adik beradik itu berkata, pengalaman indah yang tidak mungkin dia lupakan ketika mengakhiri komponen terakhir pada peringkat Tahap Emas apabila ditempatkan dengan keluarga angkat di Felda Selendang, Rompin Pahang.
“Melihatkan diri saya tidak semua yakin dan percaya saya mampu membuat kek, tetapi saya ada kemahiran itu dan kongsikan dengan keluarga angkat.
“Selama lima hari bersama keluarga angkat, saya mendedahkan kemahiran membuat kek dengan mereka, pengalaman penuh dengan ketawa dan gurau senda, pengalaman itu tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda mula diperkenalkan sejak 2001 dengan menyasarkan golongan muda berusia 14-25 tahun bertujuan memberi sokongan dan semangat dalam menanamkan nilai-nilai seperti semangat bekerjasama ke arah mencapai personaliti unggul.
Anugerah ini dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai Badan Berkuasa Anugerah Peringkat Kebangsaan dan dikoordinasi dan diuruskan oleh Cawangan Gaya Hidup, Bahagian Pembangunan Rakan Muda.
Tahap anugerah terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Gangsa, Perak dan Emas dengan setiap anugerah mempunyai empat komponen wajib iaitu Khidmat Masyarakat, Rekreasi Fizikal, Kemahiran dan Pengembaraan manakala peringkat Emas perlu melengkapkan satu kategori tambahan, iaitu Projek Penempatan selama lima hari empat malam di suatu penempatan yang dipilih, serta ditemani oleh individu yang bukan kenalan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.