Dulu ikan buangan, kini malong sudah ada ‘harga’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Julai – Bukan belut, jauh sekali ular laut, tetapi spesies ikan ini dianggap ‘pemangsa’ lautan yang boleh membawa kecederaan kepada nelayan atau kaki pancing dek giginya yang tajam.

Itulah yang sifat ikan malong atau ‘daggertooth pike conger’ dari keluarga ‘muraenesocidae’ yang bukan setakat licin, malah berbahaya kepada nelayan atau sesiapa sahaja yang mencuba menangkapnya.

Giginya yang tajam mampu menyebabkan kecederaan parah jika ia menggigit tangan atau bahagian lain tubuh mereka yang mencuba menangkapnya.

Tubuhnya yang licin menyebabkan ia agak sukar untuk dikendalikan tetapi di sebalik ciri fizikalnya yang amat licin dan bergigi tajam itu, spesies itu kini mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Nelayan, Ibrahim Daim, 65, berkata jika 10 tahun lalu malong tidak bernilai, sekarang ia mampu dijual kepada pengusaha bebola ikan pada harga antara RM5 hingga RM15 sekilogram bergantung kepada saiz.

“Pada musim susah untuk mendapatkan ikan gred A seperti jenahak, merah, kerapu dan kurau, kami menangkap malong dengan menggunakan rawai, iaitu beratus-ratus mata kail yang dicangkuk umpan.

“Dahulu malong tidak ada harga tetapi sekarang ia memberikan pulangan yang baik kerana digunakan dalam perusahaan membuat bebola ikan,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pasir Gembor, di sini hari ini.

Dia berkata, ikan berkenaan berbentuk seakan-akan belut tetapi muncungnya lebih panjang berbanding belut dan mempunyai jajaran gigi yang rapat dan tajam.

Katanya, setiap kali menarik rawai yang sudah dimakan malong, dia lebih berhati-hati bagi mengelakkan diserang ikan berbahaya itu.

Walaupun belum pernah terkena gigitan malong, dia tetap berhati-hati ketika menaikkan malong ke dalam perahu tetapi mata kail yang tercangkuk pada mulut malong tidak akan terus ditanggalkan.

Sebaliknya dia segera menyimpan malong dalam petak perahu sementara mulutnya masih tercangkuk mata kail bagi membiarkan haiwan marin itu menjadi lemah sebelum mati.

Mohd Fazli mengangkat ikan malong di pangkalan nelayan Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara.

Seorang lagi nelayan Mohd Fazli Baba, 38, berkata, dia terpaksa menggunakan ranggup atau playar bagi menanggalkan mata kail daripada mulut malong.

“Saya tidak akan menanggalkan mata kail daripada mulut malong kecuali dengan menggunakan playar bagi mengelakkan digigit gigi malong yang tajam dan rapat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

24406
Kongsi :
Previous post MBMB diaudit, tingkat perkhidmatan efisien kepada warga Bandaraya
Next post Masjid, surau institusi pendidikan penting di Malaysia
Ubah saiz-+=