Dulu hobi kini pasar produk menerusi ‘handmade market’
KOTA LAKSAMANA 26 Ogos – Mulanya minat menjahit sekadar mengisi masa terluang namun lama-kelamaan hobi semakin menebal apabila hasil seni tangan sendiri mampu meraih pendapatan.
Itu situasi dialami ahli Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) yang menyertai persatuan itu bagi mempelajari teknik jahitan kreatif sebelum dipasarkan menerusi platform media sosial atas talian yang dinamakan sebagai ‘handmade market’.
Bagi Nur Izzati Hamzah, 19 dia tidak menyangka beg tangan sulaman yang dihasilkannya mampu meraih minat orang ramai untuk membeli produk keluarannya.
Dia berkata, pada mulanya dia sendiri tidak minat menjahit dan hanya menemani ibunya menyertai persatuan cawangan Melaka yang terletak di Pusat Latihan dan Kraftangan Epal, Taman Lagenda namun tidak menyangka kemahiran mempelajari seni jahitan mampu menjana pendapatan.
“Bila saya terlibat dengan menjahit terutama mempelajari seni sulaman, banyak benda yang boleh kita lakukan.
“Teknik jahitan ini umpama ‘pelaburan’ untuk diri saya sendiri yang agak terkesan dengan pandemik COVID-19, yang mana umur muda seperti saya agak susah untuk mendapat pekerjaan jadi dengan menjahit saya dapat bantu ibu cari duit,” katanya ketika ditemui di Pusat Kraftangan dan Latihan Epal, di sini.
Bagi R Davakee, 39 berkata dia sendiri tidak pandai menjahit dan tidak tahu bagaimana cara untuk mengendalikan mesin jahit.
“Setelah lima tahun menyertai latihan menjahit, saya mula serius lebih-lebih lagi sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, untuk menghasilkan lebih banyak barang hiasan rumah dan beg tangan bagi menjana pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Gan Teng Tee, 70 berkata meskipun suaminya memiliki kedai jahit dan tahu mengenai teknik jahitan baju dan seluar, namun dia lebih gemar menghasilkan jahitan aksesori.
“Hampir 20 tahun saya menjahit baju dan seluar, namun saya rasa penat dan tidak suka menjahit (baju dan seluar).
“Saya tukar minat menjahit kepada aksesori dan saya sendiri pasarkan hasil jahitan menerusi laman Facebook,” katanya.
Menurut Suryani Sulaiman, 50 teknik menjahit pakaian adalah perkara biasa namun teknik jahitan kreatif adalah sesuatu yang luar biasa dipelajarinya.
“Daripada jahitan asas sehingga ke jahitan yang kita tidak tahu seperti menjahit kasut, menghasilkan hiasan terompah dan sebagainya,” katanya.
Pengurus Pusat Latihan dan Kraftangan Epal, Lisa Leong berkata pihaknya menjalankan usahasama bersama PSJKM itu untuk mengajar ahli persatuan supaya menjalankan perniagaan menerusi atas talian terutamanya ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan dan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
PSJKM yang dinaungi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Mainumah Iskandariah mula ditubuhkan pada tahun 2007 dan kini mempunyai hampir 6,000 orang ahli diseluruh Malaysia yang mana 98 peratus daripadanya adalah wanita.