
DULU DIANGGAP ‘GILA’, KINI WANITA CONTOH
DUYONG 9 Mac – Siapa sangka atau menduga insan yang dahulunya fakir, dianggap ‘gila’ kerana sering ‘melepak’ di kaki lima dan masjid kini menjadi wanita kebanggaan Negeri Melaka.
Dak Nor atau nama sebenarnya Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio, 41, dinobat sebagai penerima Anugerah Kasih Wanita Cekal sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang disampaikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menzahirkan rasa terima kasih, Dak Nor berkata kehidupannya berubah selepas tular di laman media sosial bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Jelasnya, sikap prihatin masyarakat setempat khususnya warga Duyong yang tidak menyisihkannya tetapi sebaliknya membimbingnya ke jalan yang lurus antara faktor besar Perubahan dialami sekarang.
“Datuk Mohd Noor Helmy antara insan paling saya berterima kasih, beliau menyantuni dan banyak membantu saya menjadi Dak Nor seperti hari ini yang waras. Jasa beliau hanya Allah sahaja yang mampu balas.
“Saya menerima banyak peluang untuk berubah, seperti meniaga, menunaikan umrah, membantu insan lain yang kesusahan dan yang paling saya ingat sekali adalah nasihat Datuk, jika kita apabila sudah berjaya jangan lupa bantu orang lain.
“Pesan itu memang saya tanam dalam diri untuk bangkit. Saya memang tidak sangka apabila dimaklumkan akan menerima anugerah berprestij ini, syukur alhamdulillah, terima kasih Allah dan terima kasih semua,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Japerun Duyong di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Berkongsi perkembangan terbaharu dirinya, Dak Nor berkata dia semakin sihat dan masih dalam pemantauan kesihatan oleh pihak hospital.
“Sekarang raya menjalankan perniagaan menjual pelbagai biskut dan kuih raya di Bazar Ikonik Banda Hilir. Saya menerima satu gerai secara percuma daripada penganjur, syukur tidak terhingga ramai orang baik yang Allah hadirkan di sekeliling saya.
“Jika dahulu saya adalah penerima bantuan, sekarang saya harap Allah akan makbul hajat agar selepas ini saya pula menjadi pemberi bantuan,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.