Duit boleh cari, nyawa tidak boleh diganti – Rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 22 Mei – Rakyat rata-ratanya menyokong penuh sekiranya kerajaan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengawal pembukaan lebih banyak sektor ekonomi demi mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Penjawat awam Nurul Husna Mansor, 32, berkata sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan kawalan pergerakan orang ramai seperti PKP 1.0 supaya penularan COVID-19 berkurangan.

Katanya, kesihatan masyarakat lebih penting supaya rakyat mampu menjana ekonomi dengan lebih baik selepas segala-galanya dalam keadaan selamat.

“Bagi saya, lebih baik kerajaan buat ‘lockdown’ sebagaimana PKP 1.0 supaya kesihatan awam lebih terjamin, malah pendapatan ekonomi boleh dipertingkatkan jika kesihatan awam terjaga.

“Jika kerajaan buat prosedur operasi standard (SOP) sekejap perketat, sekejap longgar, kes makin lama makin meningkat…duit boleh dicari, nyawa tidak boleh diganti,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Justeru, katanya kerajaan perlu mengambil langkah drastik bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Kerajaan perlu mempercepatkan lagi program vaksinasi untuk membentuk imuniti kelompok masyarakat sekali gus dapat mengurangkan jangkitan COVID,” katanya.

MOHAMAD Saifurl Asraf.

Pekerja swasta Mohammad Saiful Asraf Hamdan, 24, turut senada apabila melahirkan rasa kecewa kerana kes COVID-19 semakin meningkat dalam kalangan komuniti.

“Kerajaan patut laksanakan PKP seperti PKP 1.0 selama 21 hari supaya betul-betul memberi kesan kepada penurunan kes.

“Ini tidak, sekejap tutup sekejap buka…seolah-olah seperti separuh masak. Kes tetap naik, tidak ada perubahan.

“Saya rasa kalau ada yang bercakap mengenai soal terjejas, semua terjejas malah ramai yang sudah dibuang kerja, jadi untuk keadilan semua pihak, laksanakan PKP seperti 1.0 supaya melandaikan lengkung COVID-19,” katanya.

JOHN Yap.

Bagi peniaga kasut, John Yap, 40-an, dia berpendapat dia tidak kisah jika kerajaan mahu melaksanakan PKP sepenuhnya asalkan semua pihak bekerjasama untuk memastikan penurunan kes.

Katanya, tiada guna jika kerajaan memperketatkan kawalan orang ramai tetapi rakyat sendiri enggan beri kerjasama.

“Saya tidak kisah sama ada perlu PKP sepenuhnya atau tidak asalkan rakyat sendiri beri kerjasama dan mematuhi arahan kerajaan,” katanya.

Semalam, menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelaksanaan PKP 3.0 akan diperketatkan lagi kepada lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang semakin meningkat.

Perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai situasi semasa penularan jangkitan COVID-19.

SOP PKP 3.0 diperketatkan itu dijangka diperincikan petang ini oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

710
Kongsi :
Previous post Muhyiddin kupas isu COVID-19, pelaksanaan PKP dalam temu bual eksklusif Bernama TV, RTM
Next post PKP 3.0: peniaga siap sedia sebarang ketentuan diumumkan
Ubah saiz-+=