Dua wanita ditahan halang tugas polis, cetus provokasi
KUALA LUMPUR, 25 Februari – Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan membuat provokasi terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di Subang Jaya, Selangor, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam kejadian pada 11.10 malam itu, anggota polis yang menjalankan rondaan jenayah di tepi Jalan SS15/4G Subang Jaya ternampak sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua wanita terbabit berada di lokasi itu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata anggota polis telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta kad pengenalan untuk tujuan pemeriksaan, namun kedua-dua wanita terbabit enggan memberi kerjasama.
“Malah, seorang daripada wanita berkenaan mengeluarkan telefon bimbit dan merakam video serta mempertikaikan tugas pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan itu, kedua-dua wanita berusia 29 dan 37 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas.
Kedua-dua, katanya yang direman dua hari hingga hari ini telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Wan Azlan turut menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa dan tidak menimbulkan provokasi yang membolehkan mereka diambil tindakan undang-undang.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.