Sorting by

×

DUA SEPUPU SEPAKAT TERUSKAN LEGASI BAHULU ‘CRISPY’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MACHAP JAYA 20 Mac – Bagi mengelakkan perusahaan bahulu dimulakan arwah bapanya lebih 20 tahun lalu ‘terkubur’ seorang remaja lelaki bersama abang sepupunya sepakat untuk meneruskan legasi pembuatan kuih tradisional itu.

Muhammad Najmi Amzairy, 18, berkata, selepas bapanya Amzairy Md Dewa meninggal dunia pada 2021 tidak ada pewaris yang berminat untuk menyambung perusahaan itu.

Katanya, namun begitu tidak lama kemudian abang sepupunya Arif Fadhilah Othman, 28, menyuarakan hasrat mahu menghidupkan semula perusahaan itu berbekalkan pengalaman ketika bekerja bersama arwah bapanya.

“Abang sepupu tahu banyak perkara mengenai proses menghasilkan bahulu termasuk cara menyediakan adunan. Pada peringkat awal memang kami berdepan cabaran, tekstur bahulu yang dimasak tidak rangup seperti air tangan arwah ayah.

“Namun atas semangat kesepakatan dan tidak mudah berputus asa, akhirnya abang sepupu berjaya mendapatkan adunan yang sempurna, cara memproses kuih ini sama seperti yang digunakan oleh arwah ayah, kami mahu kekalkan kualiti agar pelanggan berpuas hati,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem, di bengkel Bahulu Nenda, di Kampung Melaka Pindah, di sini, baru-baru ini.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Najmi berkata selepas tamat sekolah tahun lalu dia bersama Arif Fadhilah, memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perusahaan itu.

“Saya amat bertuah kerana abang sepupu banyak membantu, hasil jualan bahulu kini menjadi pendapatan utama saya untuk membantu keluarga termasuk adik masih bersekolah. Saya yakin setiap usaha pasti ada hasilnya,” katanya.

Sementara itu, Arif Fadhilah berkata, pada hari biasa mereka menghasilkan kira-kira 500 biji kuih bahulu, namun sepanjang Ramadan jumlah itu meningkat sekali ganda menjadi 1,000 biji.

“Meskipun berdepan cabaran berikutan kenaikan kos bahan mentah, kami cuba kekalkan harga mampu milik iaitu RM17 untuk satu bekas mengandungi 50 biji,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan sambutan yang agak menggalakkan dia bersama Muhammad Najmi bercadang untuk memperkenalkan bahulu perisa pandan dan coklat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MAIM PERUNTUK RM14.8 JUTA BAGI PEMBANGUNAN MUALAF
Next post KHATAM AL-QURAN PERDANA DUN AYER LIMAU