Sorting by

×

Dua rakan baik reda ibadah haji ditangguhkan

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat
JAMALIAH (kanan) dan Roslah (kiri) reda tidak dapat menunaikan ibadah haji tahun ini.

ALOR GAJAH 18 Jun – Sekian lama menantikan panggilan untuk menunaikan haji, dua sahabat akur ibadah itu terpaksa ditunda selepas kerajaan mengumumkan penangguhan menghantar jemaah haji tahun ini.

Selepas empat kali gagal dalam rayuan permohonan sejak tahun 2008, Jamaliah Mamad, 63, dan Roslah Abdullah, 64, akhirnya mendapat tawaran Tabung Haji pada Mac lalu untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Bagaimanapun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, dua warga emas itu kemudian menunda hasrat itu sebelum arahan penangguhan menghantar jemaah haji ke Mekah diumumkan kerajaan minggu lalu.

Menurut Jamaliah, sebaik menerima surat tawaran itu, dia teruja untuk membuat persediaan kerana terlalu lama menantikan tempoh rayuannya diterima.

Dia yang kematian suami akibat kanser sejak 24 tahun lalu berkata, penantian itu bagaimanapun bertukar khabar duka, berikutan kerajaan mengumumkan penangguhan kepada jemaah haji untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima tahun ini.

“Mengalir air mata ini masa dengar berita itu sebab dah lama menunggu, sepatutnya giliran Makcik pergi haji tahun depan tetapi, Makcik buat rayuan dan dapat tahun ini.

“Sebelum ini anak-anak ada nasihatkan makcik jangan teruja kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku memandangkan dunia dilanda wabak Covid-19 (koronavirus),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Belimbing Dalam.

Dia berkata, walaupun pernah mengerjakan umrah pada tahun 2015, namun dia lebih bersemangat untuk kembali beribadah ke tanah suci itu menggunakan hasil simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicarum daripada pelbagai kerja dilakukannya.

Ujarnya, semangat dia dan rakannya tidak pernah luntur kerana saban tahun mereka berdua sanggup berulang-alik menaiki bas untuk menyertai kursus haji di Masjid Ar-Rashidin, Alor Gajah walaupun rayuannya belum diluluskan.

“Tak apalah perancangan Allah adalah yang terbaik dan makcik berdoa moga Allah panjangkan umur kami berdua agar dapat mengerjakan  haji bersama tahun depan,” katanya.

Bagi Roslah yang juga ibu tunggal, dia teruja untuk menunaikan ibadah itu kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke bumi Mekah.

Ujarnya, hasrat untuk menunaikan haji sekian lama diimpikan, malah berazam untuk menyimpan wang sebanyak RM10 setiap bulan sejak usianya 20 tahun.

“Saya bukan orang senang dan hendak pergi umrah mungkin sukar jadi saya kumpulkan wang untuk buat haji sahaja.

“Bayangkan ketika itu pendapatan penoreh tidak banyak lebih kurang RM6 sehari dan wang itulah saya simpan di Tabung Haji,” katanya.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri mengumumkan Kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini akibat pandemik terbabit.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Batal majlis kahwin demi keselamatan keluarga
Next post Pengusaha inap desa enggan terburu-buru beroperasi
Ubah saiz-+=