Sorting by

×

Dua premis judi dalam talian diserbu, 13 warga asing ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 13 individu warga asing termasuk lima wanita, dalam serbuan berasingan terhadap dua apartmen yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Jalan Kuchai Lama, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata dalam serbuan yang dilakukan antara pukul 4 petang hingga 4.45 petang itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya lima set komputer, lima unit komputer riba, 14 telefon bimbit dan dua unit penghala (router).

“Kesemua warga asing yang ditahan itu berumur antara 20 hingga 36 tahun dan disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan mendapati kedua-dua premis ini disyaki terlibat dalam mengurus serta mempromosikan aktiviti perjudian dan analisis pakar judi terhadap barangan rampasan mendapati wujud aktiviti yang disyaki berkaitan dengan unsur-unsur perjudian dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti perjudian mahupun kegiatan jenayah lain agar dapat menyalurkan maklumat kepada Hotline Polis Brickfields menerusi talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1148
Kongsi :
Previous post RUU kawalan merokok perlu dibentangkan secepat mungkin
Next post Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki di Ipoh
Ubah saiz-+=