Dua PKRC pekerja asing pertama bakal beroperasi
AYER MOLEK 31 Mei – Dua Pusat Rawatan dan Kuarantin COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan pekerja asing di negeri ini dijangka akan beroperasi dalam tempoh terdekat
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, dua PKRC itu adalah di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ayer Keroh dan Dewan Bistari dengan kos rawatan pekerja dibiayai majikan masing-masing.
Menurutnya, rundingan mengenai perkara itu masih dijalankan dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Kita tempatkan pesakit positif bagi pekerja asing di kedua-dua penempatan itu berikutan PKRC Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) tidak menerima mereka.
“Setakat ini, semua pekerja warga asing yang positif COVID-19 ditempatkan di asrama masing-masing atau lokasi yang disediakan majikan bagi menjalani proses kuarantin,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Dewan Bistari boleh menampung lebih 200 orang manakala Kem PLKN Ayer Keroh boleh memuatkan lebih 600 orang.
Rahmad berkata, dalam pada itu, empat hospital swasta di Melaka sudah bersedia untuk menerima pesakit COVID-19 iaitu.
Katanya, tiga daripada hospital terbabit iaitu Pusat Perubatan Mahkota, Hospital Pakar Putra Melaka dan Hospital Pantai Ayer Keroh mula menerima pesakit hari ini.
“Satu lagi, iaitu Pusat Perubatan Oriental sedang melakukan persiapan sebelum menerima pesakit COVID-19,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri bersetuju menjadikan sebuah hotel di Banda Hilir sebagai PKRC swasta bagi pesakit positif COVID-19, manakala dua lagi hotel masing-masing di Jalan Bendahara dan Ayer Keroh akan dijadikan sebagai pusat kuarantin wajib.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.