Sorting by

×

Dua perahu nelayan dicuri di Telok Gong

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LINGGI 30 Sept. – Dua nelayan di Pangkalan Nelayan Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru di sini, nyaris berputih mata selepas perahu dan enjin sangkut 15 kuasa kuda mereka dipercayai dilarikan pencuri awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 1 hingga 6 pagi dan hampir menyebabkan Mohd Reza Sedek, 45, dan Mohd Afendi Sahat, 46, masing-masing hampir kerugian RM3,000.

Bagaimanapun, kedua-dua perahu itu ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan nelayan lain ditinggalkan dalam keadaan separuh tenggelam, kira-kira satu batu nautika dari pantai.

Mohd Reza berkata, dia tiba di pangkalan itu untuk ke laut pada jam 7 pagi tetapi terkejut mendapati perahunya dan Mohd Afendi tiada selain kunci stor diumpil dan sebuah enjin hilang.

MOHD Reza (kanan) memperkatakan sesuatu kepada penduduk mengenai kejadian perahunya dan perahu rakannya, Mohd Afendi dipercayai dilarikan penyamun dari Pangkalan Nelayan Kampung Telok Gong, Masjid Tanah.

“Saya menghubungi Mohd Afendi memaklumkan kehilangan perahu dan kami mencarinya di sepanjang pantai kerana menyangka ada orang meminjam perahu tetapi gagal menemukannya.

“Saya menerima panggilan seorang nelayan pada jam 10 pagi yang meminta saya datang ke Jeti Bot Jaring Malam kira-kira satu kilometer dari pangkalan saya kerana perahu saya sudah ditunda oleh APMM ke jeti,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan itu hari ini.

Dia berkata, pegawai APMM memaklumkan perahunya ditemukan ketika rondaan dalam keadaan bahagian belakang sudah tenggelam dan menyebabkan enjin motor sangkut dimasuki air.

“Alhamdulillah, perahu Mohd Afendi ditemukan nelayan juga dalam keadaan separuh tenggelam tidak jauh dari tempat perahu saya ditemukan, sebelum ditunda ke pangkalan kami,” katanya.

Berikutan itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru petang semalam dan enjin berkenaan terpaksa dibawa ke bengkel untuk dibaik pulih akibat dimasuki air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua nelayan berkenaan dan kes disiasat oleh APMM.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, siasatan masih dijalankan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post Hanya 50 peratus kapasiti pengunjung setiap premis – Muhammad Jailani
Next post Polis Melaka tutup SJR daerah mulai 12.01 tengah malam ini
Ubah saiz-+=