Dua penunggang parah gagal elak Myvi masuk simpang
BATU BERENDAM 23 Jun – Dua penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Persimpangan Jalan Dato Mohd Zin, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, sukarelawan polis berusia 48 yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 ditempatkan di zon merah Hospital Melaka kerana mengalami kecederaan di kepala dan dada.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal yang juga penghantar makanan berusia 21 tahun cedera di kaki, pinggang serta tangan, dan kini yang kini ditempatkan di zon kuning Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah memberikan signal untuk masuk ke persimpangan Jalan Keruing Merah 1.
Katanya, ketika sedang membelok, motosikal yang ditunggang penghantar makanan datang dari arah Batu Berendam tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta itu.
“Kemudian, datang sebuah lagi motosikal ditunggang sukarelawan polis yang gagal mengelak, lalu terjatuh di atas jalan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu kereta berusia 23 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurut Christopher, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik, namun lokasi itu sedikit gelap.
Katanya lagi, tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan tiada juga saksi bebas tampil membantu memberi keterangan berhubung kejadian.
“Sampel darah pemandu kereta telah diambil bagi tujuan mengesan kandungan alkohol dan dadah dalam darah.
“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.