Dua peniaga didakwa tipu urusan sewa rumah dan bilik
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Dua peniaga dihadapkan ke lima Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 11 pertuduhan menipu berhubung penawaran sewa rumah dan bilik membabitkan kerugian lebih RM50,000, tiga bulan lepas.
Haslina Kiprawi, 45, dan Afif Fariehin Ramli, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Noorelynna Hanim Abd Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Fardiana Haryanti Ahmad Razali.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu 11 individu dengan memperdayakan mereka dalam urusan penawaran sewa rumah dan bilik sehingga mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM52,650 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank atas nama Afif Fariehin.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Sky Suites, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) di sini antara Mei hingga 13 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Zanyuin, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi, Nur Diana Mohamad Saad, Nidzuwan Abd Latip dan Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Erickka Farrise Amir.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM29,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.